Pupuk belia, beliawanis membaca Al-Quran

Pupuk belia, beliawanis membaca Al-Quran

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 2 Dis – Sebagai salah satu usaha bagi melahirkan para belia dan beliawanis yang boleh membaca Al-Quran dengan baik dan sempurna, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait telah mengadakan Peraduan Membaca Al-Quran Secara Murattal bagi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid-masjid Daerah Belait yang berlangsung di Masjid Pekan Seria, hari ini.

Muncul juara bagi kategori lelaki ialah Awang Abdul Nur Mafuuz bin Haji Borhan dengan pungutan markah 86 peratus, manakala itu, Dayang Amal Afiqah binti Ali menjuarai bahagian perempuan dengan markah 91 peratus.

Naib johan bagi kategori lelaki disandang oleh Awang Nur Fikri bin Soffian (85 peratus) dan diikuti oleh Awang Muhd Khairul Syazwan bin Mohd Idris (84.5 peratus) di tempat ketiga.

Sementara itu, Dayang Siti Hafizah Al-Haziqah binti Ariffin (89 peratus) menyandang gelaran naib johan bagi kategori perempuan dan Dayang Nurul Nadhirah binti Mohd Khairul Arifin di tempat ketiga.

Barisan peserta bahagian belia yang mengikuti peraduan tersebut.
Barisan peserta bahagian belia yang mengikuti peraduan tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Peraduan berkenaan disertai seramai 11 peserta termasuk enam lelaki dan lima perempuan, serta dipengerusikan oleh Ketua Imam Masjid Pekan Seria, Awang Mohd Zulhilmi bin Mohd Jefri.

Peraduan ini juga diadakan adalah sebagai salah satu langkah untuk mengambil perhatian para belia dan beliawanis untuk pergi ke masjid, dengan menjadikannya sebagai pusat penyebaran dakwah kepada masyarakat umum sebagai aktiviti semasa cuti penggal akhir persekolahan.

ARTIKEL YANG SAMA