Pupuk budaya keselamatan kerja

Pupuk budaya keselamatan kerja

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Melaksanakan amalan baik dalam budaya kerja akan membawa kepada meningkatkan budaya keselamatan di Negara Brunei Darussalam dan ia akan membantu untuk mencapai matlamat sifar kemalangan di tempat kerja.

Bagi memupuk budaya keselamatan itu, para pekerja harus tidak merasa segan atau malu untuk bertanya jika mereka mempunyai sebarang kemusykilan serta juga tidak hanya mengikut sebarang arahan tanpa mengetahui mengapa ia harus dilakukan.

Dengan sikap berani bertanya dan mengamalkan sikap berhati-hati setentunya budaya keselamatan di tempat kerja itu dapat ditingkatkan, kata penceramah keselamatan dan motivasi, Lee Shelby ketika menyampaikan ucaptama inspirasi bertajuk ‘Workplace Safety is Not Optional!’ pada Perasmian Persidangan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) dalam Pembinaan 2016 yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas, hari ini.

Hadir untuk menyempurnakan perasmian persidangan selama dua hari itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar selaku wakil peribadi Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah.

Dalam ucaptama itu, Lee menceritakan pengalamannya yang mengalami kemalangan semasa bekerja yang menyebabkannya kehilangan kedua-dua belah tangannya.

Dato Paduka Haji Suhaimi ketika mendengarkan taklimat yang disampaikan.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika mendengarkan taklimat yang disampaikan.
Dato Paduka Haji Suhaimi menerima cenderahati daripada Awang Hafriz Musa.
Dato Paduka Haji Suhaimi menerima cenderahati daripada Awang Hafriz Musa.

Namun begitu, beliau tidak pernah menjadikannya sebagai alasan dan terus berusaha untuk membantu menekankan pentingnya keselamatan ketika bekerja dan beliau juga merupakan seorang penulis buku mengenai keselamatan yang berjaya.

Lee juga, dalam ucaptama itu, menekankan pentingnya untuk tidak leka ketika melakukan kerja-kerja rutin kerana jika leka, kemungkinan besar kerja rutin itu boleh sahaja menyebabkan kecederaan kepada mereka seperti yang pernah dialaminya.

Terdahulu sebelum itu, Pengurus Besar CONFEX, Awang Hafriz Musa menyentuh mengenai dengan kerjasama di antara CONFEX dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam menjayakan penganjuran persidangan selama dua hari itu.

Persidangan yang membawa tema ‘The Road to Goal Zero: The Future of Brunei’s HSSE governance and performance’, mengumpulkan penceramah profesional tempatan dan antarabangsa dalam bidang keselamatan untuk membincang dan mengongsi maklumat mengenai cara untuk mencapai sifar kecederaan, sifar kematian dan sifar kecederaan parah dengan melaksanakan amalan terbaik yang baru bagi urus tadbir HSSE di Brunei.

Lebih 150 orang peserta dari sektor kerajaan dan swasta menghadiri persidangan itu di mana mereka akan mendengar pembentangan mengenai isu-isu dan trend semasa serta urus tadbir dan dasar-dasar dalam HSSE.

Persidangan itu juga akan mengetengahkan pembentangan oleh tiga buah agensi kerajaan yang dilihat sebagai kerjasama antara pihak kerajaan dan sektor korporat dalam usaha untuk mencapai satu matlamat iaitu untuk mempromosikan budaya selamat.

Semasa persidangan itu, turut diadakan pameran mini HSSE yang disertai oleh jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat tempatan di mana pameran dibuka untuk kunjungan orang ramai sepanjang persidangan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA