Pupuk budaya membaca

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Terdapat lima prinsip utama dalam kehidupan yang amat dianjurkan dalam Islam bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat iaitu memartabatkan kesucian agama, menghargai nyawa, memelihara akal, menjaga keturunan dan memiliki harta serta mensucikannya, dan memelihara akal fikiran yang dianugerahi Allah S.W.T.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan perkara itu seterusnya menjelaskan salah satu prinsip, memelihara akal termasuklah juga memelihara minda untuk sentiasa menimba ilmu yang bermanfaat, kebajikan masyarakat dan kemajuan negara.

Beliau seterusnya menjelaskan, salah satu cara untuk mendapatkan ilmu itu ialah dengan belajar atau memperbanyakkan membaca di mana membaca bukan saja membuka minda untuk menerokai pelbagai bidang ilmu tetapi menyumbang kepada perkembangan minda dan ilmu pengetahuan.

“Sebagai umat Islam, hendaklah kita menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya atau amalan harian di mana ia dapat membentuk insan yang berilmu pengetahuan dan dapat mencapai kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat,” tambahnya.

Dalam perkara ini, sebagai ibu bapa insan yang paling dekat dengan anak-anak perlu berkorban dan menjadi model peranan mereka memupuk sikap minat membaca kepada anak-anak sejak kecil lagi.

Ini seperti membaca Al-Quran, membaca kisah-kisah nabi dan sahabat, kisah-kisah yang mengandungi pengajaran dan tauladan yang elok untuk dicontohi, bahan-bahan yang mengandungi sumber maklumat seperti akhbar, buku ilmiah dan seumpamanya.

“Melalui membaca, seseorang akan mendapat banyak faedah dan kelebihan antaranya menambah dan meningkatkan ilmu pengetahuan, meningkatkan kekuatan memori selain ia juga merupakan senaman minda kerana sel-sel dalam otak akan aktif dan membuatkan minda lebih sihat,” jelasnya.

Bukan setakat itu, tambah khatib, membaca juga boleh melatih diri menjadi seorang yang berdisiplin dan meningkatkan kreativiti, meningkatkan kemahiran, tatabahasa dan membantu cara berkomunikasi dengan lebih baik dan teratur.

Kesedaran akan pentingnya budaya membaca adalah faktor utama bagi menjayakan salah satu Wawasan Negara 2035 dapat dicapai iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya dengan menjadikan membaca sebagai amalan atau budaya boleh mengayakan masyarakat celik ilmu pengetahuan khususnya dalam menjayakan program pembangunan negara.

Sehubungan itu, khatib menyeru untuk sama-sama meningkatkan amalan membaca dari masa ke semasa, perlu diingat satu-satunya jalan untuk mendapatkan ilmu yang berguna dan membina ialah dengan banyak membaca dan mendapatkan sumber yang benar dan sahih.

“Golongan dewasa juga hendaklah menunjukkan contoh ikutan yang sihat dan baik kepada golongan yang lebih muda dengan mengamalkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei,” tambahnya.