Pupuk budaya menghafaz surah-surah pilihan dalam kalangan belia

Pupuk budaya menghafaz surah-surah pilihan dalam kalangan belia

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG – Peraduan Menghafaz Surah Surah terpilih berserta pemahamannya bagi ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Takmir Masjid Daerah Temburong 1437H/2015M, anjuran Majlis Perundingan Mukim Labu telah diadakan di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang di pimpin oleh Imam Masjid Kampung Labu Estate, Awang Moktar bin Bakri.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Penasihat Majlis Perundingan Mukim Labu, Dato Seri Setia Haji Tasim bin Akim.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, AJK serta pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Temburong.

Seramai 20 peserta telah menyertai pertandingan tersebut yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu dari pasukan lelaki dan perempuan yang terdiri daripada ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung dan ahli Takmir Masjid Daerah Temburong.

Dato Seri Setia Haji Tasim ketika menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Haji Muhammad Lukaman Al Hakim yang memenangi Kategori E bagi Lelaki Dewasa.
Dato Seri Setia Haji Tasim ketika menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Haji Muhammad Lukaman Al Hakim yang memenangi Kategori E bagi Lelaki Dewasa.
Dato Seri Setia Haji Tasim semasa hadir selaku tetamu kehormat peraduan tersebut.
Dato Seri Setia Haji Tasim semasa hadir selaku tetamu kehormat peraduan tersebut.
Keluarga turut berbangga atas kejayaan yang diraih.
Keluarga turut berbangga atas kejayaan yang diraih.

Haji Abdurahman bin Haji Nasir menjelaskan dalam ucapan beliau bahawa antara lain tujuan acara ini diadakan adalah bagi memupuk budaya menghafaz surah-surah pilihan khususnya dalam kalangan generasi belia ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung dan ahli-ahli Takmir Masjid yang menurut beliau ianya sangat diyakini boleh menyatupadukan masyarakat dan warga MPM/MPK secara total.

Tambah beliau, usaha yang diungkayahkan ini juga berpotensi untuk memberikan pendedahan serta pengalaman yang menjurus kepada perpaduan dalam kalangan penduduk di bawah tadahan Mukim Labu secara khusus dan masyarakat Islam secara umumnya yang setentunya dalam mendukung hasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Dalam pertandingan tersebut, Kategori A telah dimenangi oleh Awang Mohd Zahirul Haziq bin Hamdan, Dayang Nurul Ezzatul Khalidah binti Haji Bahrum memenangi Kategori B, Awang Mohd Syafiq Iskandar bin Abdullah memenangi Kategori C, Dayang Nurul Basyirah binti Ariffin memenangi Kategori D, Haji Muhammad Lukaman Al Hakim bin Haji Hamdan memenangi kategori E dan Dayang Aisyah Safiyah binti Haji Abdul Rahman telah memenangi Kategori F.

Para pemenang masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai sementara pemenang sagu hati menerima hadiah sumbangan masjid-masjid yang mereka wakili.

ARTIKEL YANG SAMA