Pupuk hubungan kerjasama dengan rakan niaga

Pupuk hubungan kerjasama dengan rakan niaga

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Menyedari peranannya yang semakin penting ke arah kesejahteraan ekonomi di negara ini dan pembangunan perniagaan tempatan, Brunei Gas Carriers (BGC) buat pertama kalinya telah mengadakan acara RAKAN (Raising Awareness, Knowledge and Networking) bagi vendor-vendor berdaftar yang berlangsung di Goldstone Ballroom, di Hotel Centrepoint, Gadong.

Kira-kira 150 orang jemputan termasuk kakitangan BGC menghadiri acara berkenaan yang bertujuan untuk memupuk hubungan kerjasama dengan rakan-rakan perniagaan tempatan dengan meningkatkan kesedaran mengenai standard kecemerlangan yang diperlukan untuk memenuhi misinya iaitu ‘Shipping Energy First-Class’.

Tema-tema yang diketengahkan dalam acara itu termasuk peluang-peluang perniagaan akan datang khusus untuk Industri Perkapalan LNG, menguruskan HSSE dalam kontrak, kod tata kelakuan BGC, proses pembayaran dalam BGC dan keperluan-keperluan pelaporan Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD).

Pengurus Kontrak dan Perolehan BGC, Pengiran Dianawaty binti Pengiran Haji Matzin, ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya, menyatakan bahawa dalam tempoh dua tahun lepas, BGC telah mula mengendalikan tujuh kontrak yang sebelumnya dikendalikan oleh Shell International Trading and Shipping Co. Ltd di London dan beberapa perkhidmatan berkenaan kini disediakan oleh orang tempatan.

“Di samping beberapa kontrak korporat yang menyokong operasi, kira-kira 75 peratus daripada kontrak kami yang berkesan adalah tempatan. Ini akan terus menjadi aspirasi pada tahun-tahun akan datang.

Pengarah Pengurusan BGC ketika melancarkan portal vendor.
Pengarah Pengurusan BGC ketika melancarkan portal vendor.
Antara yang menghadiri acara RAKAN itu.
Antara yang menghadiri acara RAKAN itu.

“Kunci untuk berjaya dalam memenuhi objektif kami bergantung kepada mempunyai hubungan kerjasama, satu daripadanya adalah yang kami kembangkan bersama-sama dengan anda,” ujar beliau.

Pengiran Dianawaty juga menjelaskan mengenai Portal Vendor yang turut dilancarkan di majlis berkenaan yang mana portal layan-sendiri (self-service portal) berkenaan adalah sebahagian daripada fasa pertama ‘AXiS’ iaitu Sistem Perancangan Penyumberan Perusahaan BGC yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Portal vendor membolehkan anda (rakan-rakan niaga) untuk menyemak status pendaftaran anda dan mengemas kini maklumat utama anda dengan BGC secara online,” tambah Pengiran Dianawaty lagi.

Majlis diteruskan lagi dengan pelancaran portal vendor berkenaan yang disempurnakan oleh Pengarah Pengurusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa.

Menurut kenyataan yang diberikan, RAKAN merupakan inisiatif yang selaras dengan komitmen Prestasi Sosial BGC untuk terus melibatkan pihak yang berkepentingan, dalam hal ini dengan rakan-rakan perniagaan tempatan BGC yang sedia ada.

Acara berkenaan menyediakan peluang penjaringan (networking) untuk rakan kongsi perniagaan tempatan berkongsi pengetahuan dan pengalaman bekerja dalam industry.

ARTIKEL YANG SAMA