Pupuk kemahiran daya perusahaan, inovasi belia

Pupuk kemahiran daya perusahaan, inovasi belia

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Idea jaket keselamatan untuk penunggang basikal dan pelari pada waktu malam, dinamakan sebagai ‘Cyclist Plus’, telah membawa tuah kepada kumpulan ‘Brilliant Four’ dari Politeknik Brunei apabila diumumkan sebagai juara Pertandingan Menghasilkan Produk Idea semasa Majlis Penutupan Rasmi Bengkel Belia Berinovasi 2016 yang diadakan di Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping, hari ini.

Sementara itu, Kumpulan ‘Absent’ dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) pula menduduki tempat kedua dengan produk ‘TeaGree Celcius’, diikuti di tempat ketiga oleh Kumpulan ‘Five Friends on Business’ dari Sekolah Rendah (SR) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) dengan produk idea dinamakan sebagai ‘Special Eyes’.

Manakala itu, Awang Ahza Nur Mustaffa bin Haji Suffian dari SR YSHHB diumumkan sebagai Penyampai Terbaik Pertandingan Belia Berinovasi 2016.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan dan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai.

Seramai 180 orang pelajar telah menyertai bengkel selama empat hari itu yang terdiri daripada pelajar Politeknik Brunei, Maktab Duli, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri, SR Mabohai dan SR YSHHB.

Kumpulan ‘Brilliant Four’ dari Politeknik Brunei muncul sebagai juara pertandingan menghasilkan produk idea yang dipanggil ‘Cyclist Plus’.
Kumpulan ‘Brilliant Four’ dari Politeknik Brunei muncul sebagai juara pertandingan menghasilkan produk idea yang dipanggil ‘Cyclist Plus’.
Awang Ahza Nur Mustaffa (tiga, kanan) bersama kumpulannya ‘Five Friends on Business’ dari SR YSHHB dengan produk idea dipanggil ‘Special Eyes’.
Awang Ahza Nur Mustaffa (tiga, kanan) bersama kumpulannya ‘Five Friends on Business’ dari SR YSHHB dengan produk idea dipanggil ‘Special Eyes’.
Mohammed Arshed Butt mengumumkan para pemenang Bengkel Belia Berinovasi 2016.
Mohammed Arshed Butt mengumumkan para pemenang Bengkel Belia Berinovasi 2016.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 120 orang telah layak untuk mengikuti Pertandingan Perusahaan.

Bengkel Belia Berinovasi yang pertama kali dianjurkan oleh Jabatan Pusat Pengajaran dan Pembelajaran Inovatif Politeknik Brunei itu dijalankan melalui pembelajaran secara interaktif sambil berseronok.

Dalam bengkel berkenaan, para peserta telah dibimbing oleh pakar perusahaan, Mohammed Arshed Butt yang juga selaku Pengarah Urusan Solomon Ash Ltd, syarikat pakar dalam Pembangunan Perniagaan dan Kemasyarakatan di United Kingdom.

Beliau dalam taklimatnya mempelawa pengusaha untuk merangsang pembangunan perniagaan, dan meningkatkan standard kepimpinan serta pengurusan dalam sesebuah organisasi bagi kemakmuran sosial dan ekonomi.

Semasa bengkel dijalankan, para peserta juga diajarkan mengenai halangan-halangan memulakan perniagaan dan bagaimana cara mengatasinya. Ini termasuk faedah memulakan perusahaan, ciri-ciri keusahawanan, produk atau perkhidmatan, inovasi, penyelidikan pasaran dan persediaan dalam perniagaan.

Bengkel antara lain bertujuan sebagai menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah penglibatan belia dalam perusahaan dan memupuk semangat kemahiran perusahaan dan berdaya usaha.

Salah seorang peserta daripada kumpulan Politeknik Brunei, Awang Muhammad Asyraff bin Rosli semasa ditemui telah mengongsikan apa yang beliau pelajari daripada bengkel keusahawanan itu. Menurutnya, menerusi bengkel itu, beliau telah mempelajari mengenai teknik-teknik menjadi seorang yang berjaya dalam bidang keusahawanan dengan meningkatkan keupayaan bercakap di khalayak ramai.

Menjelaskan mengenai produk idea kumpulannya, beliau berkata, produk keselamatan bagi penunggang basikal yang boleh digunakan pada waktu pagi dan malam itu dihasilkan selepas mempelajari komponen-komponen yang diajarkan oleh Mohammed Arshed.

“Produk ini adalah sejenis jaket yang mempunyai lampu keselamatan LED waktu pagi dan lampu isyarat LED menggunakan bateri,” jelasnya sambil menambah, ia diperkenalkan bagi membantu para penunggang basikal atau pelari yang aktif.

Menurutnya, dengan adanya jaket berkenaan, para penunggang basikal dan pelari yang hendak bergerak ke haluan lain boleh memberikan isyarat awal kepada kenderaan lain dengan menekan butang disediakan.

Beliau turut menyuarakan keinginannya dan rakannya untuk menyertai lagi pertandingan seumpamanya pada masa hadapan dan berharap mereka diberi peluang untuk membuka perusahaan tersendiri bagi mengembangkan lagi produk idea tersebut menjadi realiti.

Sementara itu, Awang Ahza Nur Mustaffa pula berkata, bengkel tersebut telah memberi keyakinan kepadanya dan rakan kumpulan yang telah menyertai bengkel keusahawanan itu.

“Kami juga berpeluang untuk bertandingan dengan peserta lain terutama pelajar peringkat menengah untuk menghasilkan satu produk idea yang bernas untuk dipasarkan nanti. Hasil dari bengkel ini juga membawa kepada kerjasama, mengatasi dan menyelesaikan sesuatu masalah dalam perniagaan dan apa yang paling penting ialah kemahiran untuk memberanikan diri seperti bercakap di depan orang ramai,” ujarnya.

Bagi Lim Liang Hong dari Maktab Duli pula, kursus yang mengajar bagaimana menjadi seorang pengusaha itu sangat efektif sehinggakan beliau ingin untuk membuka perniagaan sendiri, walau bagaimanapun beliau masih mempunyai keraguan kegagalan dalam perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA