Pupuk kesedaran keselamatan di laut

Pupuk kesedaran keselamatan di laut

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Jabatan Laut, semalam, telah mengadakan jerayawara kesedaran awam berkaitan dengan keselamatan maritim Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Serba guna Kelab Perkhidmatan Awam.

Jerayawara berkenaan membawa tema ‘Penguatkuasaan Penomboran Perahu di Bawah Perintah Perkapalan Pedagang (Pendaftaran Kapal Ikan dan Perahu Pelesiran) 2011 dan Keselamatan Navigasi Berdekatan Projek-projek Jambatan’.

Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Laut, Kapten Basza Alexander bin Haji Basri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, jerayawara ini antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu-isu keselamatan maritim termasuk peraturan dan undang-undang yang berkaitan di samping mengetengahkan dasar dan peraturan yang berkaitan seperti penomboran perahu dan pelesenan alat menangkap ikan.

Ia juga dilancarkan sebagai wadah interaksi dan komunikasi antara agensi-agensi keselamatan maritim bersama pihak berkepentingan swasta, nelayan, pemilik dan para pengendali bot di Negara Brunei Darussalam.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Jabatan Laut, Pengiran Haji Amirul Azri bin Pengiran Haji Abdul Hamid dan Penolong Pendaftar Kapal, Jabatan Laut, Awang Jumat bin Haji Jamudin.

Taklimat menyentuh mengenai peraturan-peraturan di bawah Perintah Perkapalan Pedagang 2011, kehendak-kehendak peraturan berkenaan dan proses permohonan (pendaftaran dan penomboran perahu).

Manakala itu, taklimat keselamatan navigasi bagi projek jambatan menerangkan mengenai pemberitahuan kepada para pelaut mengenai zon kerja sementara (temporary working zone) di kawasan pembinaan projek jambatan di perairan Negara Brunei Darussalam.

Bagi meningkatkan keselamatan pelaut dan pekerja di kawasan pembinaan jambatan, para pelaut dinasihatkan untuk menjauhi kawasan projek jambatan berkenaan. Bagi sebarang pertanyaan khususnya mengenai pendaftaran dan penomboran perahu, orang ramai disarankan untuk menghubungi Bahagian Perkapalan, Ibu Pejabat Jabatan Laut, Jalan Perusahaan Serasa, Muara di talian 2771347 sambungan 261.

ARTIKEL YANG SAMA