Pupuk kesedaran pengguna

Pupuk kesedaran pengguna

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Pameran Pengguna Mudah Alih anjuran CONFEX yang berlangsung di Pusat Membeli-belah The Mall, Gadong, membuka tirainya, hari ini dengan mengetengahkan tujuh buah syarikat.

Pameran bertema teknologi di hujung jari anda itu dibuka bagi kunjungan orang ramai sehingga 20 September dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Pengurus Projek Pameran berkenaan, Awang Rosli Abdullah semasa ditemui pada pelancaran pameran tersebut memberitahu syarikat-syarikat yang terlibat dalam pameran ini terdiri daripada DST, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), NBT (Toyota), Hyundai, Fortress, K-Mas dan syarikat hartanah dari luar negara.

Sepanjang pameran berkenaan, para pengunjung akan didedahkan mengenai aplikasi mudah alih melalui beberapa aspek antaranya daripada perbankan dalam talian, mengakses Internet, pembelian dan lain-lain.

Dalam satu temu bual bersama Pengurus Meridin Properties dari Kuala Lumpur, Louis Lee menjelaskan, penyertaan syarikat mereka dalam pameran seumpama ini di Brunei adalah yang julung-julung kalinya dan berharap akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Toyota NBT yang menyertai pameran anjuran CONFEX.
Toyota NBT yang menyertai pameran anjuran CONFEX.
BIBD turut menyertai pameran CONFEX.
BIBD turut menyertai pameran CONFEX.
Suasana di pameran peranti mudah alih pengguna anjuran CONFEX.
Suasana di pameran peranti mudah alih pengguna anjuran CONFEX.

Beliau seterusnya menambah, produk yang dipasarkan semasa pameran ini merupakan projek bagi sebuah hotel yang terletak di pusat bandar Kuala Lumpur berdekatan dengan Menara Berkembar Petronas yang mana juga merupakan Hotel W pertama di Malaysia.

Menurutnya, hotel itu akan mempunyai 53 tingkat dengan dilengkapi kemudahan penuh di samping pemandangan menarik suasana di sekitar bandar apabila berada di tingkat paling atas hotel berkenaan.

Pada pameran itu, BIBD turut membukakan pendaftaran bagi larian amal BIBD CE ALAF di samping perkhidmatan-perkhidmatan lain antaranya seperti membuka akuan, BIBD Online, BIBD Mobile, Virtual MasterCard, permohonan untuk BIBD Home, pembaikan rumah dan pembiayaan peribadi.

Selain itu, pengunjung juga akan berpeluang mendapatkan pengecualian yuran pembiayaan dan perkhidmatan BIBD yang terpilih, di samping menerima cenderahati BIBD dan secara langsung menyertai kempen Barakah BIBD untuk berpeluang memenangi sebuah kereta Honda Odyssey.

Pelanggan BIBD juga boleh mengemas kini maklumat peribadi dan berpeluang memenangi hadiah Samsung Galaxy S6 Edge, Apple iPhone 6 Plus atau Apple iPhone 6.

Pada pameran itu, BIBD juga membuat demo perkhidmatan mereka seperti BIBD Mobile dan BIBD Online, eTunai dan Virtual MasterCard.

ARTIKEL YANG SAMA