Pupuk keusahawanan di kalangan masyarakat

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei terus mengukuhkan lagi inisiatif dan program strategik yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan ke arah memupuk dan membangunkan keusahawanan dalam kalangan belia dan masyarakat.

Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad berkata, penyertaan belia adalah menggalakkan, yang mana program tersebut telah menghasilkan pengusaha belia yang mapan dalam perdagangan komersial dan kewangan serta dalam beberapa sektor industri tenaga dan perkhidmatan.

Semasa berucap di Majlis Pelancaran Rasmi Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei ke-11, di Dewan Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini, di mana beliau juga menyentuh mengenai keusahawanan yang mana di luar kurikulum, Kementerian Pendidikan juga menjalankan pembelajaran keusahawanan dalam bentuk program atau pertandingan sekolah atau institusi, serta melalui aktiviti dan perkongsian kerjasama.

Antaranya Minggu Keusahawanan di beberapa buah sekolah; Minggu Wang Global (Global Money Week) dengan kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP), yang melibatkan aktiviti dalam celik kewangan; Skim Pendidikan Keusahawanan Brunei (BEES) dengan kerjasama BSP dan UBD; dan ‘Success Weekend’ – salah satu program yang dijalankan oleh Perkampungan Keusahawanan (di bawah Agenda Keusahawanan Kebangsaan) untuk pelajar gred K-12.

Dr. Haji Azman dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei ke-11, petang kelmarin.

Justeru, beliau menekankan bahawa jelas terdapat banyak inisiatif dan program yang telah diperkenalkan untuk mempromosikan dan mengukuhkan keusahawanan dalam kalangan rakyat Brunei.

Beliau juga menyatakan bahawa kini lebih 10,500 belia telah menyertai dalam pelbagai program LiveWIRE Brunei dan Siri Rancangan Perniagaan dikenal pasti sebagai program yang paling popular sejak ia diperkenalkan.

Oleh yang demikian, beliau berpendapat bahawa terdapat masih banyak ruang untuk diperkembangkan dan berharap lebih banyak penyertaan dalam pelbagai sektor terutama dalam teknologi maklumat, pendidikan, pertanian, serta industri makanan, agro dan tenaga.