Pupuk keyakinan diri melalui Kem HELP

Pupuk keyakinan diri melalui Kem HELP

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Kem Program Cuti Bahasa Inggeris (HELP) yang dianjurkan bagi pelajar-pelajar Program ALAF Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) berakhir hari ini, sekali gus mengakhiri kem pembelajaran selama tujuh hari bagi 46 orang pelajar baru program berkenaan yang berlangsung di Hotel Orchid Garden.

Menurut kenyataan BIBD, kem-kem berkenaan bermatlamat untuk menyokong lagi pembangunan dan kemajuan pelajar-pelajar di bawah Program ALAF BIBD, membantu membangunkan keyakinan diri mereka, membangunkan keupayaan komunikasi mereka dan menanamkan sifat menghargai matlamat Program ALAF.

Kem-kem HELP dianjurkan dengan kerjasama CfBT untuk menyampaikan kem latihan Bahasa Inggeris tersendiri bagi para pelajar program berkenaan, yang termasuk kuliah-kuliah, sesi perdebatan, aktiviti-aktiviti berasaskan tugasan untuk mempromosikan kerjasama.

Kem-kem berkenaan juga direka untuk memupuk kepercayaan dalam diri para peserta terhadap kebolehan mereka dalam Bahasa Inggeris dan untuk menanamkan tabiat latihan pelajar yang baik.

Program ALAF BIBD pada masa ini disertai oleh lebih 100 orang pelajar di mana dana bagi program itu dikuti melalui pelbagai usaha tanggungjawab sosial korporat BIBD termasuk penganjuran Ekspedisi Amal BIBD bagi ALAF dan juga menerusi sumbangan derma daripada agensi-agensi korporat dan orang persendirian.

Gambar ramai mereka yang terlibat di sepanjang kem tersebut.
Gambar ramai mereka yang terlibat di sepanjang kem tersebut.
Salah sebuah kumpulan mempamerkan hasil tugasan dalam kem tersebut.
Salah sebuah kumpulan mempamerkan hasil tugasan dalam kem tersebut.
Pertandingan debat yang merupakan salah satu aktiviti yang disertai para pelajar.
Pertandingan debat yang merupakan salah satu aktiviti yang disertai para pelajar.

Program ALAF dilancarkan pada Mei 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah, yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi memastikan kerjasama rapat antara semua pihak supaya pelaksanaannya serta peruntukan bantuan untuk program ALAF dapat dikendalikan dengan jayanya.

Para pelajar di bawah program ini menerima bantuan bayaran yuran sekolah dan tuisyen, alat tulis, pengangkutan dan keperluan makanan dan juga keperluan-keperluan lain. Semua ini bertujuan memastikan pelajar-pelajar terbabit dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap kemajuan pendidikan mereka tanpa perlu memikirkan komitmen yang lain.

Program akan terus menyediakan bantuan dan sokongan kepada pelajar-pelajar terbabit sehingga mereka tamat pengajiannya. Selain daripada mengambil bahagian dalam acara seperti CE ALAF, orang ramai yang ingin untuk menyumbang kepada Tabung ALAF BIBD boleh membuat sumbangan derma minimum sebanyak $1.01 ke dalam akaun ALAF BIBD, 1018181811.

Sumbangan juga boleh dibuat dengan mudah melalui rangkaian BIBD yang sedia ada seperti laman sesawang BIBD Online, aplikasi BIBD Mobile, BIBD ATM dan CDM atau kaunter-kaunter cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh membuat arahan tetap BIBD bagi memastikan bahawa sumbangan bulanan dapat disalurkan ke dalam tabung ALAF. Di samping itu, bagi pemegang akaun BIBD, mereka juga boleh menggunakan mata hadiah BIBD yang di kumpul mereka untuk ditukarkan menjadi sumbangan ke dalam akaun Tabung ALAF.

Sementara itu, pelanggan Progresif juga boleh membuat sumbangan derma kepada Program ALAF melalui perkhidmatan SMS dengan menyatakan jumlah sumbangan iaitu BND 1,5,10,15 dan 20 dengan menaip, ALAF dan memasukkan jumlah sumbangan serta menghantar pesanan itu ke talian 38988.

ARTIKEL YANG SAMA