Pupuk patriotisme pelajar

Pupuk patriotisme pelajar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Lebih 100 orang pelajar Tahun 7 dari Sekolah Menengah Sayyidina Hasan, Kilanas, pagi tadi telah menghadiri Taklimat Kenegaraan ‘Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan’ yang diadakan di dewan serba guna sekolah tersebut.

Hadir bagi menyampaikan taklimat anjuran anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan itu ialah Pegawai Penerangan, Haji Dayang bin Haji Kasim.

Haji Dayang dalam taklimatnya antara lain menyentuh mengenai cara-cara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan terperinci.

Menurut beliau, pada kesimpulannya setiap negara di dunia ini memiliki bendera rasmi dan lagu kebangsaan masing-masing termasuklah negara ini.

Beliau menyeru agar penduduk di negara ini merasa bangga kerana memiliki bendera negara dan lagu kebangsaan sendiri.

Haji Dayang semasa menyampaikan taklimat.
Haji Dayang semasa menyampaikan taklimat.
Sebahagian daripada pelajar yang menghadiri taklimat kenegaraan.
Sebahagian daripada pelajar yang menghadiri taklimat kenegaraan.

Pada taklimat tersebut, para pelajar juga berpeluang untuk menyaksikan video Tatacara Pengibaran Bendera dan menyertai kuiz kenegaraan.

Taklimat pagi tadi itu diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab kuiz kenegaraan dan penyampaian cenderamata kepada Haji Dayang.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai semangat patriotisme dalam diri para pelajar dalam menghormati bendera negara dan menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara. Di samping itu, ia turut mengoptimumkan penghayatan dan pemahaman terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara ke arah kesedaran hidup berbangsa, bernegara, beragama yang berdasarkan falsafah negara Melayu Islam Beraja.

ARTIKEL YANG SAMA