Pupuk pemahaman bursa saham

Pupuk pemahaman bursa saham

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Statistik, Ekonomi dan Sosial serta Latihan bagi Negara-negara Islam, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-SESRIC), baru-baru ini telah menganjurkan program latihan bertajuk Kesedaran Komuniti Pelabur dan Kewangan.

Program dua hari, pada 25 dan 26 Mei lalu itu, diadakan di Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam, Bandar Seri Begawan.

Pada majlis penutup program berkenaan, Pengarah Eksekutif (Penyeliaan Insurans/Takaful dan Pasaran Modal), Jabatan Regulatori, AMBD, Hajah Mahani binti Haji Mohsin, telah menekankan pentingnya untuk meningkatkan pengetahuan dan memupuk pemahaman dalam bidang pasaran modal, yang mana adalah kritikal bagi meraih sepenuhnya manfaat penubuhan bursa saham tempatan dan objektif perkembangan sektor kewangan selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Ia juga merupakan langkah permulaan bagi membolehkan Negara Brunei Darussalam untuk menyertai bursa ASEAN, tambah beliau semasa menyampaikan ucapan di majlis itu.

Menurut kenyataan AMBD, hari ini, seminar berkenaan telah dihadiri oleh 33 peserta tempatan yang terdiri daripada pegawai-pegawai AMBD, Kementerian Kewangan dan industri kewangan.

Antara para peserta yang menyertai program latihan Kesedaran Komuniti Pelabur dan Kewangan.
Antara para peserta yang menyertai program latihan Kesedaran Komuniti Pelabur dan Kewangan.

Seminar telah disampaikan oleh penceramah berpengalaman dalam bidang pasaran kewangan, derivatif dan komoditi, market microstructure dan behavioural finance, iaitu Pakar Kanan di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan, Borsa Istanbul, Turki, Evren Arik.

Objektif latihan adalah untuk membina kapasiti pengamal pasaran modal, serta menggalakkan kesediaan untuk menyokong pembangunan pasaran modal di negara ini, khususnya dalam membangun bursa saham.

Program ini mengandungi tujuh topik utama termasuk tatacara operasi pasaran kewangan dan bursa saham, instrumen-instrumen kewangan dan fungsi-fungsinya.

Kenyataan menjelaskan, SESRIC ditubuhkan sebagai anak syarikat OIC sejak 1977 di Ankara, Turki, dan berperanan menjalankan aktiviti dan projek kerjasama teknikal di antara negara-negara OIC dalam bidang khusus penyelidikan sosio ekonomi, statistik dan latihan dalam pembangunan sosial dan ekonomi.

Program Pembangunan Kapasiti Bursa Saham OIC adalah sebahagian daripada program latihan pendidikan dan vokasional SESRIC bagi negara-negara OIC untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran.

Ini akan menyumbang kepada pembangunan dan daya saing ekonomi serta memudah cara perkongsian pengetahuan. Program ini juga bertujuan untuk menggalakkan pelaburan dan kesedaran komuniti kewangan mengenai trend industri bursa serta memberi bimbingan dalam perdagangan sekuriti.

ARTIKEL YANG SAMA