Pupuk pembelajaran di luar bilik kuliah

Pupuk pembelajaran di luar bilik kuliah

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Okt – Dalam usaha untuk mempergiatkan aktiviti-aktiviti akademik serta memupuk suasana pembelajaran di luar bilik kuliah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini telah mengadakan Tazkirah Maghrib di Surau Sementara, Dewan Serbaguna, UNISSA.

Tazkirah yang dianjurkan oleh Felo Unit Kolej Kediaman, Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu telah disertai oleh seramai 50 orang mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Turut hadir ialah Felo Kolej Kediaman Siswa, Awang Ahmad Baha bin Mokhtar dan Felo Kediaman Siswi, Hajah Nurol Halimatulwara’ binti Haji Mumin.

Hadir bagi menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Keutamaan Menuntut Ilmu dan Mengajarkannya dalam Islam: Imam Syafi’i Sebagai Teladan’, dalam Bahasa Arab ialah Profesor Kunjungan, Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i, UNISSA, Profesor Dr. Mohamed Nabil El-Sayed Ghanaim.

Pada tazkirah tersebut, Profesor Dr. Mohamed Nabil menekankan bahawa hukum menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap umat Islam.

Profesor Dr. Mohamed Nabil ketika menyampaikan tazkirah kepada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA yang menyertai tazkirah tersebut.
Profesor Dr. Mohamed Nabil ketika menyampaikan tazkirah kepada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA yang menyertai tazkirah tersebut.

“Perkara ini telah jelas ditekankan di dalam Al-Quran sendiri sehingga perkataan ‘ilmu’ itu diulang sebanyak 875 kali, malah bilangan ini melebihi bilangan ke atas kefarduan lainnya seperti solat, zakat, puasa dan sebagainya.”

Beliau juga menasihati para pelajar agar mencontohi para ulama silam yang mencintai ilmu.

Banyak kitab terutama kitab hadis bahkan Imam Al-Bukhari dalam kitab hadis ‘Sahih Al-Bukhari’ telah memulakan kitab tersebut dengan perbahasan mengenai ilmu dan secara praktiknya, Imam Syafi’i adalah contoh teladan yang perlu diikut dalam berusaha dan bertungkus lumus dalam menuntut ilmu.

Menurut kenyataan UNISSA, di sini, dengan aktiviti ini juga, para pelajar dapat menguasai bidang Bahasa Arab dan dapat memberikan motivasi untuk mencontohi akhlak yang mulia berpandukan daripada kecintaan Imam Syafi’i dalam mencintai ilmu.

ARTIKEL YANG SAMA