Pupuk rasa cintakan alam sekitar

Pupuk rasa cintakan alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Perasaan cinta, menghargai serta sedia menjaga alam sekitar dalam kehidupan seharian harus disemai di dalam setiap diri individu khususnya generasi masa kini dari usia yang muda lagi dan harus dijadikan satu pendidikan sepanjang hayat.

Sehubungan itu, bertepatan dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2016 yang bertemakan ‘Tujuh Bilion Mimpi. Satu Planet. Gunakan dengan Berhati-hati’, warga Sekolah Rendah (SR) Orang Kaya Besar Imas, Subok bersama Pasukan Pengakap Tunas sekolah telah turut mengambil inisiatif bagi meraikan sambutan ini dengan menanam anak benih cili, terung serta pokok bunga di persekitaran kawasan sekolah, hari ini.

Menurut Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas dan Pemimpin Pengakap Tunas, Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Hajah Noraini binti Haji Saidi menyatakan kegiatan itu diadakan untuk memberikan kesedaran, pendidikan dan pendedahan kepada ahli pengakap mengenai penjagaan alam sekitar yang harus difahami oleh setiap ahli Pengakap Tunas.

Beliau menekankan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar itu, bermula para ahli Pengakap Tunas itu sendiri. Di samping itu, kegiatan berkenaan dapat memberi kesempatan kepada ahlinya mengenali pokok-pokok yang ditanam bagi kegunaan seharian.

Hajah Haryani menunjuk cara mengaul tanah dengan baja.
Hajah Haryani menunjuk cara mengaul tanah dengan Baja.

Dengan bimbingan guru mata pelajaran sains sekolah berkenaan, Hajah Haryani binti Haji Hakim, ahli Pengakap Tunas diajar melalui kaedah belajar sambil membuat penyediaan bagi penanaman, menyemai dan menanam anak-anak benih pokok berkenaan ke dalam bekas bahan kitar semula yang sesuai iaitu tray telur dan botol bekas minuman plastik.

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap tahun pada 5 Jun bagi meningkatkan kesedaran global untuk mengambil tindakan positif dalam melindungi alam sekitar serta alam semula jadi di planet Bumi.Ia dikendalikan di bawah program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di mana Hari Alam Sekitar Sedunia merupakan hari paling penting PBB bagi menggalakkan kesedaran di seluruh dunia untuk melindungi alam sekitar.

Sejak 1974, ia telah berkembang menjadi sebuah platform global untuk capaian awam yang meluas diraikan di lebih 100 buah negara. Hari Alam Sekitar Sedunia telah dimulakan sebagai acara tahunan untuk meningkatkan kesedaran dunia mengenai pentingnya persekitaran yang sihat dan hijau dalam kehidupan manusia.Ia juga diadakan untuk menyelesaikan isu-isu alam sekitar dengan melaksanakan beberapa program alam sekitar sebagai tindakan positif supaya setiap orang bertanggungjawab untuk menyelamatkan alam sekitar dan bukan terhad kepada seseorang individu, kerajaan sesebuah negara atau sesebuah organisasi yang bekerja untuk menjayakan dan melaksanakan program berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA