Pupuk semangat berpasukan

Pupuk semangat berpasukan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac. – Seramai 135 orang yang terdiri daripada guru-guru dan kakitangan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES), mengikuti Bengkel Pembinaan Insan PTES 2016, yang berlangsung di Dewan Serbaguna PTES, di sini, petang ini.

Aktiviti untuk mempromosi kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan kemahiran menyelesaikan masalah itu, bertujuan untuk merealisasikan visi dan misi PTES melalui kepimpinan, kerja berpasukan, dan pemikiran kritikal.

Seramai sembilan fasilitator yang antaranya terdiri daripada Pengetua PTES, Haji Ismail bin Haji Zainal, Timbalan Pengetua (Akademik), Dayang Tutty Hyrneeita binti Haji Abdul Latip, Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Alexandar bin Badang serta tenaga pengajar PTES yang lainnya turut menyumbangkan pengetahuan mereka dalam bengkel tersebut.

Pengetua PTES ketika mengendalikan sesi suai kenal.
Pengetua PTES ketika mengendalikan sesi suai kenal.
Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memupuk kerja berkumpulan.
Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memupuk kerja berkumpulan.

Antara aktiviti yang dijalankan selama setengah hari itu ialah aktiviti suai-kenal, aktiviti pembinaan pasukan dan aktiviti bertukar fikiran.

Antara lain tujuan bengkel itu juga agar para peserta menyedari kepentingan amanah dalam memilih ketua kumpulan serta memupuk kepentingan pengurusan masa untuk kegunaan kerja sehari-hari.

Selain itu, bengkel tersebut juga membina suasana berpasukan dengan berdikari dan berfikiran kritikal, mengenali para peserta dari pelbagai latar belakang, di samping berseronok pada bengkel tersebut sambil menyumbangkan idea-idea dan kerjasama. Bengkel tersebut juga diharapkan akan melahirkan nilai tambah untuk bekerjasama di antara jabatan dan seksyen PTES semasa aktiviti-aktiviti sekolah.