Pupuk semanga...

Pupuk semangat patriotik

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 12 Feb – Sempena sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-33 tahun, Jabatan Penerangan dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong telah mengadakan Pertandingan Koir Lagu-Lagu Patriotik Antara Mukim-Mukim, kelmarin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga penghulu Mukim Bokok, para penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta ahli majlis perundingan mukim dan kampung Daerah Temburong.

Dalam pertandingan tersebut, Kumpulan Koir Citra Alunan, Mukim Bangar dengan lagu ‘Bendera Negara’ muncul juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah $1,500 bersama sijil penyertaan.

Kumpulan Koir Seri Labu dengan lagu ‘Tekad Kemerdekaan’ pula muncul naib johan dan membawa pulang wang tunai $1,300 berserta sijil penyertaan, sementara pemenang ketiga ialah Kumpulan Koir Nurmubok, Mukim Bokok dengan lagu ‘Tanah Airku’ dan membawa pulang wang tunai $1,000 dan sijil penyertaan.

Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad menyampaikan hadiah johan kepada penghulu Mukim Bangar.
Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad menyampaikan hadiah johan kepada penghulu Mukim Bangar.
Hajah Noorashidah semasa menyampaikan ucapan.
Hajah Noorashidah semasa menyampaikan ucapan.
Kumpulan Koir Citra Alunan, Mukim Bangar  muncul juara Pertandingan Lagu-Lagu Patriotik sempena Hari Kebangsaan yang ke-33 tahun.
Kumpulan Koir Citra Alunan, Mukim Bangar muncul juara Pertandingan Lagu-Lagu Patriotik sempena Hari Kebangsaan yang ke-33 tahun.

Manakala dua kumpulan pemenang hadiah sagu hati masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai $500 dan sijil penyertaan. Persembahan koir jemputan daripada Kumpulan Koir Sekolah Rendah Rataie, Mukim Bokok turut memeriahkan lagi acara pada malam tersebut.

Pada majlis itu, Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar selaku pengerusi majlis menyatakan objektif pertandingan adalah untuk memupuk semangat patrotik dalam kalangan masyarakat dan memupuk kesedaran hidup bernegara melalui penghayatan lagu-lagu patriotik.

Para hakim pertandingan terdiri daripada Ketua Unit Orkestra Radio Televisyen Brunei, Awang Eddy Misuari bin Awang Zaini dan Pemangku Pengarah Pencaragam Pasukan Polis Diraja Brunei, Pengiran Shaiful Rezal Malik Faesal bin Pengiran Haji Marali.