Purata gaji rakyat Malaysia meningkat

Purata gaji rakyat Malaysia meningkat

PUTRAJAYA, 27 Mei – Purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia meningkat 5.3 peratus kepada RM2,312 pada 2015 berbanding RM2,193 pada tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata penengah gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia tahun lepas juga meningkat 6.5 peratus setahun kepada RM1,600 berbanding RM1,500 pada 2014.

Menurutnya statistik itu adalah hasil Penyiasatan Gaji dan Upah yang dilaksanakan jabatan itu pada setiap tahun melalui pendekatan isi rumah bagi mendapatkan maklumat gaji dan upah bulanan pekerja bergaji di sektor awam dan swasta daripada pekerjaan utama.

Kajian yang dijalankan secara persampelan berkebarangkalian juga mendapati purata gaji dan upah bulanan pekerja lelaki adalah RM2,345, lebih tinggi berbanding pekerja perempuan iaitu RM2,254. Bagaimanapun, penengah gaji dan upah bagi pekerja lelaki dan perempuan adalah sama iaitu RM1,600 dengan penengah bagi pekerja lelaki meningkat 5.7 peratus manakala bagi perempuan meningkat 6.5 peratus berbanding tahun sebelumnya, katanya. Jabatan Perangkaan Malaysia berkata gaji dan upah bulanan pekerja berpendidikan tertiari adalah lebih dua kali ganda daripada pekerja berpendidikan menengah pada 2014 dan 2015.

Pada 2015, katanya penengah gaji dan upah pekerja berpendidikan tertiari adalah RM3,100 berbanding menengah iaitu RM1,500, manakala purata gaji dan upah pekerja berpendidikan tertiari adalah RM3,854 berbanding menengah RM1,743. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA