Pusaka sasar eksport kayu RM10 bilion

Pusaka sasar eksport kayu RM10 bilion

KUCHING, 18 Jan – Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak(Pusaka) menyasarkan untuk meningkatkan nilai eksport produk perkayuan kepada RM8 bilion hingga RM10 bilion setahun, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak berkata strategi jangka panjang akan dirangka dengan melihat kepada peluang untuk meneroka produk baharu yang mempunyai nilai tambah dalam industri perkayuan.

Katanya antara langkah yang telah dilaksanakan ialah pelaburan bersama pelabur asing dalam pengeluaran ‘wood pellet’.

“Paling strategik ialah meneroka pengeluaran perabot daripada kayu akasia melalui projek ladang hutan akasia yang sudah diambil alih sepenuhnya oleh

Pusaka,” kata Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka itu semasa berucap pada majlis perhimpunan bulanan Pusaka di sini hari ini.

Awang Tengah berkata usaha kolaborasi dengan pihak industri dan institusi pengajian tinggi juga perlu dipertingkatkan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mempelbagaikan produk baharu yang mempunyai nilai tambah untuk mengoptimumkan sumber bahan mentah sedia ada.

Beliau turut berharap R&D yang dijalin dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam pembangunan produk perabot mampu meningkatkan pendapatan eksport.

“Usaha itu merupakan bayangan strategik Pusaka untuk mentransformasikan industri perkayuan kepada industri berpendapatan tinggi dan mengembangkan sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata industri perkayuan merupakan antara sumber penting dalam menjana pendapatan dan ekonomi negeri Sarawak sejak lima dekad lalu.

Katanya hasil pelaksanaan dasar dan inisiatif yang berkesan oleh kerajaan negeri, industri perkayuan pada masa ini menyumbang pendapatan eksport sebanyak RM7.2 bilion dan menjana tidak kurang daripada 50,000 peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata kemasukan pelaburan asing dalam industri hiliran berasaskan kayu dijangka melonjakkan pendapatan eksport yang lebih besar melepasi RM8 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Beliau berkata antara pusat industri hiliran yang telah dikenal pasti dalam RMK-11 ialah Kuching, Tanjung Manis, Bintulu, Miri dan Lawas. – Bernama