Pusat analisis siber pertama Boeing

Pusat analisis siber pertama Boeing

SINGAPURA, 8 Julai (Bernama) – Boeing hari ini membuka secara rasmi Pusat Analisis Siber antarabangsa pertamanya di Singapura, membawakan keupayaan dan perkhidmatan keselamatan siber canggihnya kepada rakan kongsinya di rantau ini.

Penubuhan Boeing Cyber Analytics Centre (BCAC) itu bertujuan untuk menyediakan pemahaman lebih mendalam tentang persekitaran ancaman siber dan kesannya kepada kerajaan, industri dan para akademi, yang mana pengetahuan tentangnya semakin diperlukan ketika ini.

Pusat itu akan berfungsi sebagai sumber serantau bagi perkongsian dan kerjasama maklumat, bagi membolehkan rakan kongsi di seluruh Asia Pasifik bekerjasama menilai teknologi dan teknik yang dapat menangani dengan proaktif potensi ancaman siber.

Maklumat yang dikumpulkan daripada BCAC akan menyediakan amaran lebih awal kepada rakan-rakan kongsi di seluruh rantau tentang serangan siber yang akan berlaku dan menjalankan analisis trend yang bertujuan membantu mengurangkan ancaman sedia ada serta menangani potensi ancaman pada masa hadapan.

Boeing membuka Pusat Analisis Siber Antarabangsanya di Singapura.
Boeing membuka Pusat Analisis Siber Antarabangsanya di Singapura.

BCAC akan menggunakan khidmat penganalisis yang dilatih khusus untuk menggunakan analisis siber canggih, dan misi utama mereka adalah untuk mengenal pasti ancaman siber terkini serta yang bakal muncul dan mengeluarkan amaran tepat pada masa kepada rakan-rakan kongsi BCAC.

Beh Kian Teik, Pengarah Eksekutif Pejabat Program Industri Keselamatan (SSIPO) Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura berkata,” pusat ini merupakan tambahan utama kepada industri di Singapura kerana ia membawakan keupayaan dan perkhidmatan keselamatan siber canggih bagi menampung keperluan yang semakin meningkat di rantau Asia Pasifik.

“Ia turut menyediakan pilihan kerjaya menarik baharu bagi warga Singapura yang berminat bekerja dalam industri keselamatan siber di Singapura.

Kami mengharapkan pertumbuhan berterusan Boeing di sini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Boeing di sini.

ARTIKEL YANG SAMA