Pusat Bahagia Eric Goh memeduli di Aidilfitri

Pusat Bahagia Eric Goh memeduli di Aidilfitri

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Julai – Sambutan Hari Raya Aidilfitri, sebagai kemenangan setelah sebulan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, dan bulan Syawal membawa kegembiraan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini, selain tidak ketinggalan turut diraikan bersama-sama dengan masyarakat berkeperluan khas.

Sehubungan itu, Sambutan Hari Raya Aidilfitri telah turut diraikan di Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan di sini, pada setiap tahun, anjuran G.H.K Motors Sendirian Berhad, melalui Eric Goh Koit Yong Trust Fund.

Dalam sambutan tahun ini, ia merupakan kali ke-10 diadakan dengan hasrat untuk mengukuhkan dan mengeratkan lagi tali silaturahim dan hubungan baik antara keluarga dan golongan masyarakat apatah lagi orang-orang berkeperluan khas di negara ini.

Secara tidak langsung majlis tersebut diadakan setiap tahun sedikit sebanyak telah memberikan ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat sambil beramah mesra dengan warga berkeperluan khas di pusat tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Orang Berkeperluan Khas, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Haji Md Daud. Turut hadir selaku wakil G.H.K Motors Sendirian Berhad ialah Awang Jake Goh Kiat Hing, yang juga telah menyempurnakan penyampaian Dana Sumbangan Eric Goh Kait Yong kepada warga Pusat Bahagia Eric Goh.

Persembahan nyanyian daripada warga Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan Kuala Belait.
Persembahan nyanyian daripada warga Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan Kuala Belait.
Awang Jake Goh Kiat Hing, wakil daripada G.H.K Motors Sendirian Berhad menyampaikan sumbangan hari raya kepada kalangan warga Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan.
Awang Jake Goh Kiat Hing, wakil daripada G.H.K Motors Sendirian Berhad menyampaikan sumbangan hari raya kepada kalangan warga Pusat Bahagia Eric Goh Jalan Pandan.

Tetamu-tetamu lain termasuklah pegawai-pegawai kanan JAPEM, wakil-wakil G.H.K Motors Sendirian Berhad, serta ibu bapa dan penjaga warga pusat tersebut.

Sejak Januari sehingga Julai 2015, seramai 119 orang berkeperluan khas berdaftar di Pusat Bahagia Eric Goh yang mana terdiri daripada murid-murid Kelas Bimbingan Orang-Orang Berkeperluan Khas, pelatih-pelatih Latihan Industri, Pusat Latihan Dan Pekerjaan Orang-Orang Berkeperluan Khas, Pemulihan Dalam Komuniti serta Pelatih Seliaan.

Acara kemuncak majlis tersebut ialah penyampaian sumbangan Hari Raya yang telah disampaikan oleh Awang Jake Goh Kiat Hing, kepada warga Pusat Bahagia Eric Goh dan diteruskan dengan acara ramah mesra dan persembahan nyanyian serta tarian oleh warga pusat tersebut.