Pusat Bahagia semarakkan Israk Mikraj

Pusat Bahagia semarakkan Israk Mikraj

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Pusat Bahagia juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Ceramah dan Kuiz Keagamaan sempena Sambutan Israk dan Mikraj bagi murid-murid dan pelatih Orang Berkeperluan Khas (OBK) di Dewan Imtiyaz, cawangan Pusat Bahagia Brunei dan Muara, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan OBK, Dayang Noryani binti Haji Abd Rani.

Majlis keagamaan yang diadakan itu merupakan salah satu kegiatan keagamaan yang dikendalikan oleh pusat berkenaan yang bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Israk Mikraj dengan memperingati perjalanan Rasulullah S.A.W yang penuh bersejarah pada malam 27 Rejab.

Sementara itu, acara sampingan kuiz keagamaan yang juga kegiatan tahunan pusat berkenaan, bermatlamat untuk mempraktikkan sejauh mana kebolehan dan kefahaman murid-murid dan pelatih-pelatih OBK dalam pengetahuan pelajaran Ugama Islam dan sekali gus mengetengahkan kewibawaan dan keberanian mereka.

Persembahan nasyid daripada murid lelaki Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara.
Persembahan nasyid daripada murid lelaki Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara.

Pada majlis berkenaan, ceramah khas yang bertajuk ‘Fadhilat solat Berjemaah’ telah disampaikan oleh penceramah dari Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Siti Norhaziah binti Haji Asli.

Beliau menyampaikan detik permulaan kewajiban solat fardu sambil menekankan kepada murid-murid serta pelatih-pelatih OBK mengenai fadilat sembahyang fardu secara berjemaah bersama keluarga yang mana ianya boleh mengeratkan dan mengukuhkan jati diri seseorang serta institusi keluarga.

Pusat Bahagia merupakan sebuah institusi yang menyediakan khidmat latihan-latihan memperkasa kepada golongan OBK agar menjadi ahli penyumbang ke dalam masyarakat. Pusat tersebut mempunyai cawangan-cawangan yang terdapat di keempat-empat daerah.

ARTIKEL YANG SAMA