Pusat Bahagia terima sumbangan

Pusat Bahagia terima sumbangan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Pusat Bahagia Brunei Muara, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM,Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) baru-baru ini telah menerima sumbangan berupa kewangan untuk membeli buku dan peralatan lain, daripada kelas Tahun 8 Sekolah Menengah Berakas (SMB).

Hadir menerima sumbangan berkenaan ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan Berkeperluan Khas, Dayang Noryanie binti Haji Abdul Rani. Turut hadir ialah Pengetua SMB, Awang Abdullah bin Haji Ismail. Menurut Guru Bahasa Inggeris, Edd Kefe, sumbangan kewangan berkenaan merupakan hasil kutipan daripada projek pelajar Tahun 8 berkenaan. Projek-projek berkenaan adalah jualan buku masakan yang berjaya dijual lebih daripada 200 naskah.

“Hasil daripada jualan berkenaan kami sumbangkan kepada Pusat Bahagia dan ini merupakan salah satu inisiatif para pelajar kelas berkenaan untuk sama-sama membantu mereka yang lebih memerlukan,” jelasnya.

Edd Kefe (kanan), ketika menyampaikan sumbangan kewangan bagi kegunaan Pusat Bahagia Brunei Muara.
Edd Kefe (kanan), ketika menyampaikan sumbangan kewangan bagi kegunaan Pusat Bahagia Brunei Muara.

Beliau juga melahirkan hasrat untuk menjadikan projek ini sebagai projek berpanjangan bagi memberikan pendidikan di luar subjek pembelajaran kepada para pelajar agar mereka mendapat pengalaman lebih daripada apa yang dipelajari di sekolah.

Projek seumpama itu, tambah beliau, dapat memberikan kesedaran dan pendidikan secara tidak formal tentang semangat kesukarelawanan dalam membantu dan memberikan pulangan balik kepada masyarakat terutama kepada Negara.

ARTIKEL YANG SAMA