Pusat baru SMARTER dirasmi

Pusat baru SMARTER dirasmi

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jun – SMARTER Brunei kini mempunyai pusat baru dengan persekitaran mesra autisme, dinamakan Pusat SMARTER E.D.G.E (Early Development Growth and Enabling) terletak di Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong, di sini.

YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan melawat salah sebuah bilik darjah di Pusat E.D.G.E yang baru dirasmikan kelmarin. - Gambar Infofoto
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan melawat salah sebuah bilik darjah di Pusat E.D.G.E yang baru dirasmikan kelmarin. – Gambar Infofoto

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran pusat tersebut hari ini.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi; dan Ketua Pegawai Eksekutif / Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman.

Terdahulu sebelum pembukaan rasmi, majlis diserikan dengan persembahan oleh individu-individu autisme yang membuat pergerakan tarian sambil mendendangkan lagu.

Sejurus selepas pelancaran pusat berkenaan, Yang Teramat Mulia dijunjung menyaksikan bilik-bilik darjah dan kemudahan yang terdapat di pusat berkenaan, sekali gus beramah mesra dengan guru-guru dan para pelajar di pusat berkenaan.

Sementara itu, Malai Haji Abdullah dalam sembah alu-aluannya berkata, SMARTER Brunei akan mencecah usia 15 tahun pada bulan September 2016 ini.

“Kami telah melalui perjalanan yang panjang dan mencapai banyak kejayaan dalam perjalanan kita dalam menyokong autisme di Negara Brunei Darussalam.”

Menurut beliau, antara pencapaian dan pengiktirafan yang diperolehi sehingga ke hari ini adalah pengiktirafan 14 bintang emas sebagai perkhidmatan berkualiti kelas dunia yang diiktiraf mengikut sukat-sukat Penunjuk Kualiti Program Autisme New York.

“Sehingga ke hari ini, kami memiliki tiga buah pusat, satu di Kuala Belait dengan 18 orang pelajar di bawah 12 tahun yang dibuka pada tahun 2004, satu di Kampung Jangsak untuk 41 orang dewasa 12 tahun ke atas dan di sini, Pusat EDGE bagi 65 pelajar,” ujarnya lagi.

Menjelaskan mengenai Pusat E.D.G.E yang baru itu, beliau berkata ia memiliki 12 buah bilik darjah, yang mana penaja paling besar adalah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dengan mendermakan lima buah bilik darjah.

“Malar Setia menyumbang sebuah bilik darjah, Takaful TAIB sebuah bilik darjah, DST sebuah bilik darjah, Kingston sebuah bilik darjah, D’Sunlit sebuah bilik darjah dan sebuah bilik darjah yang dikenali sebagai Kelas Zumara dan kelas TLC adalah daripada penderma yang tidak mahu namanya disebutkan.”

YTM Duli Pengiran Muda  ’Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama para tetamu dan warga SMARTER Brunei pada perasmian pusat baru itu kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
YTM Duli Pengiran Muda ’Abdul Malik berkenan bergambar ramai bersama para tetamu dan warga SMARTER Brunei pada perasmian pusat baru itu kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Beliau menambah, Great Eastern Insurance turut menghulurkan sumbangan dalam bentuk Paddling Pool dan Sand Pit area.

“Dengan semua penaja ini, kita sama-sama membina syurga di dunia untuk kanak-kanak autisme bagi IWA terutamanya bagi Program Pembangunan Awal,” ujarnya, sambil menambah, pusat baru berkenaan boleh menampung sehingga 72 orang pelajar bagi sesi pagi dan 72 pelajar bagi sesi petang.

Dalam pada itu, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam kenyataannya menyatakan bahawa sejak tahun 2007 hingga sekarang, mereka telah menghulurkan sumbangan kewangan setiap tahun kepada SMARTER Brunei sejumlah $50,000 bagi membantu membiayai pengurusan dan pengendalian kegiatan-kegiatan yang diusahakan oleh Persatuan SMARTER Negara Brunei Darussalam.

Sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu membiayai pengurusan dan pengendalian kegiatan-kegiatan Pusat ASD Persatuan SMARTER Negara Brunei Darussalam.

Manakala itu, pada tahun lalu, Yayasan memberikan sumbangan kewangan berjumlah $50,000 bagi menaja pembinaan lima buah bilik darjah di pusat baru di Kampung Perpindahan Mata-Mata itu.

Di samping itu, Yayasan juga memberikan sumbangan sejumlah $4,000 bagi pembelian beberapa peralatan pembelajaran yang diperlukan di pusat berkenaan.