Pusat Biliard dan Snuker dibuka

Pusat Biliard dan Snuker dibuka

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan kini telah membuka Pusat Biliard dan Snuker di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bagi kegunaan orang ramai, bermula hari ini .

Hadir pada majlis pengumuman yang berlangsung di Pusat Biliard dan Snuker ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad dan Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri bin Haji Mohamed.

Terdapat dua dewan billiard dan snuker yang dibukakan kepada orang ramai, dengan Dewan Satu yang mempunyai tiga buah meja pool dibukakan untuk sewa dengan bayaran $350 sehari bagi penganjuran pertandingan atau kejohanan, atau $12 sejam bagi meja dan bola dari pukul 8:30 pagi hingga 6 petang dan $16 sejam bagi meja dan bola dari pukul 7 malam hingga 10 malam.

Sementara Dewan Dua yang menyediakan enam set meja pool dan lima set meja biliard disewakan dengan bayaran $150 atau $300 sehari atau sebahagian daripadanya, atau $6 sejam bagi meja dan bola sahaja dari pukul 8:30 pagi hingga 6 petang dan $6 sejam bagi meja dan bola dari pukul 7 malam hingga 10 malam.

Tetamu kehormat merasmikan pembukaan Pusat Biliard dan Snuker untuk kegunaan orang ramai.
Tetamu kehormat merasmikan pembukaan Pusat Biliard dan Snuker untuk kegunaan orang ramai.

Pusat Biliard dan Snuker Satu digunakan semasa Sukan SEA 1999 dan telah siap diubahsuai serta dinaiktaraf dengan mempunyai tiga set meja biliard dan tempat duduk untuk seramai 200 orang.

Manakala Pusat Biliard dan Snuker Dua juga telah diubahsuai dan mempunyai enam set meja biliard, lima set meja snuker dan 200 tempat duduk.

Tujuan utama pusat tersebut dibukakan adalah untuk menyediakan kemudahan kepada orang ramai terutama peminat biliard dan snuker untuk bergiat dalam sukan itu.

Orang ramai boleh menggunakan Pusat Biliard dan Snuker Satu dan Dua mulai 20 Februari 2016 mengikut bayaran yang telah ditetapkan.

Pusat tersebut ditutup dari pukul 11:30 pagi hingga 2 petang pada setiap hari Jumaat.

ARTIKEL YANG SAMA