Pusat CDC kini berada di Hospital RIPAS

Pusat CDC kini berada di Hospital RIPAS

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan di Perkhidmatan Perkembangan Pediatrik, yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC) sebelum disatukan dengan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Salah seorang bapa yang ditemui Media Permata di bangunan baru Hospital RIPAS iaitu Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, hari ini, melahirkan perasaan sangat berpuas hati kerana terdapat pakar-pakar di sana.

“Dibandingkan dengan sebelum ini, ketika di CDC Kiarong, kalau sekiranya kami ada masalah, terpaksa kami datang ke Hospital RIPAS jua. Oleh itu, walaupun perkhidmatan tersebut dipindahkan di sini, sekurang-kurangnya para pakar dapat menjumpai anak kami,” ujar Pengiran Khairul Aisamuddin bin Pengiran Saifuddin yang telah membawa anaknya, Awangku Hanin Hibatullah ke CDC sejak lahir lagi, enam tahun lalu.

Menurut beliau, jika dibandingkan dengan CDC Kiarong suasana di Hospital RIPAS lebih baik, begitu juga dengan kemudahannya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, sebagai ibu bapa kepada anak yang menjalani rawatan di CDC sebelum ini, beliau lebih suka apabila ia ditempatkan di satu tempat berasingan, “ini kerana di sana (CDC) mudah untuk kami meletakkan kereta dan berurusan”.

Awang Mohd Amin bersama isterinya Dayang Asrinah dan anaknya yang baru berumur empat bulan.
Awang Mohd Amin bersama isterinya Dayang Asrinah dan anaknya yang baru berumur empat bulan.

Beliau yang merupakan seorang guru agama menjelaskan bahawa tempat berkenaan (Hospital RIPAS) bukanlah tidak sesuai, tetapi masalah bagi mereka adalah tempat letak kereta.

“Lagipun, memandangkan tempat kami tinggal di Daerah Tutong, oleh itu lebih dekat sedikit ke Kiarong (CDC) daripada di Hospital RIPAS.”

Malah, menurutnya, waktu menunggu giliran juga sedikit cepat di CDC jika dibandingkan dengan di Hospital RIPAS.

Ini kerana di CDC memang fokusnya dikhaskan kepada perkembangan kanak-kanak dibandingkan dengan di Hospital RIPAS, yang menurut beliau, perkhidmatannya bercampur dengan yang lain.

“Kami harapkan, bukan hanya untuk anak kami tetapi juga untuk semua anak-anak lain yang menjalani rawatan pediatrik untuk mendapatkan keselesaan mereka, keselesaan bagi para ibu bapa/penjaga jua terutamanya mengenai waktu menunggu, adalah antara yang paling penting yang kami harapkan,” beliau melahirkan harapannya.

Bagaimanapun, walaupun tempat letak kereta menghadapi kesukaran, waktu menunggu lebih lama dan disatukan dengan perkhidmatan yang lain, Pengiran Khairul Aisamuddin akui kemanfaatannya memang lebih banyak terdapat di Hospital RIPAS jika dibandingkan dengan CDC Kiarong.

Manakala itu, bagi Awang Mohd Amin bin Haji Abdul Hamid dan isterinya Dayang Asrinah binti Haji Sisa yang pertama kali membawa anak mereka ke Perkhidmatan Perkembangan Pediatrik, mereka hanya mengulas mengenai perkhidmatan pengangkutan bas yang agak sedikit lambat.

Secara keseluruhannya, mereka memang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan dan berharap ia adalah yang terbaik bagi anak mereka.

Penyatuan CDC dengan Hospital RIPAS ini dilaksanakan bagi memberikan kualiti penjagaan dan perkhidmatan yang lebih baik melalui kumpulan sumber yang diperlukan seperti kakitangan dan tenaga kerja, aset dan kemudahan yang sedia ada.

Dengan yang demikian, penjagaan kanak-kanak juga semakin mudah untuk diselaraskan dalam persekitaran yang kondusif serta akses kepada semua perkhidmatan yang diperlukan.

ARTIKEL YANG SAMA