Pusat Ehsan a...

Pusat Ehsan anjur acara Walk, Run & Cycle

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) buat julung-julung kalinya akan menganjurkan ‘Pusat Ehsan Walk, Run & Cycle’ pada 12 Mac 2017 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman berkata, ia bertujuan mengumpul dana dalam mendokong perkhidmatan dan program yang berkaitan dengan pembelajaran, latihan, pemedulian bantuan dan perkhidmatan pemulihan bagi orang yang berkeperluan khas,

Bercakap pada satu sidang media di Pusat Ehsan, Bengkurong, hari ini, beliau berkata, selain itu ia juga bagi membantu inisiatif Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam Program Bandarku Ceria di Bandar Seri Begawan dengan mengadakan acara bagi orang ramai di Brunei.

Acara yang dijayakan dengan kerjasama pihak Cycletechno Event Management Solution itu akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Berjalan dan Berlari (Walk & Run); Berbasikal dan Perlumbaan Basikal (Cycle Race) ‘King of Criterium (KoC). Bagi Berjalan dan Berlari, acara dipecahkan kepada empat kategori iaitu Fun Run 3km dengan yuran pendaftaran $25, Fun Run 5km dengan bayaran pendaftaran sebanyak $30, 10km sebanyak $35, dan 21km sebanyak $40.

Bagi ‘Fun Cycling’, acara dibahagi kepada dua kategori iaitu berbasikal 12km (yuran pendaftaran $30), dan 21km (yuran pendaftaran $40).

Manakala itu, bagi Perlumbaan Basikal KoC, para peserta perlu membayar $50 bagi mengikuti antara tujuh kategori dalam perlumbaan basikal berkenaan.

Kategori-kategorinya ialah Bawah 23 Tahun (1994 ke atas), Terbuka 24-39 Tahun (1978-1993), Master A 40-49 Tahun (1968-1977), Master B (50 tahun ke atas), Wanita Terbuka (tiada had umur), Novis 39 Tahun ke bawah (tempatan) dan Novis 40 Tahun ke atas (tempatan).

Haji Ahmad (tengah) bercakap pada sidang media mengenai Pusat Ehsan Walk, Run & Cycle kelmarin.
Haji Ahmad (tengah) bercakap pada sidang media mengenai Pusat Ehsan Walk, Run & Cycle kelmarin.

Juga hadir pada sidang media itu ialah Pemegang Amanah Eksekutif (Operasi) Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin; Pengurus Besar Cycletechno Event Management Solutions, Mewsum Wong; Pengarah Cycletechno Event Management Solutions, Reduan Yusop; dan Pengerusi bagi Pusat Ehsan Walk, Run & Cycle, Jason Tan.

Sementara itu, Mewsum Wong menjelaskan, peserta Perlumbaan Basikal KoC akan mendapat pingat, baju KoC, makanan dan penyertaan dalam cabutan bertuah yang akan diadakan pada hari acara tersebut.

Katanya, bagi kategori Bawah 23, Terbuka 24-39, Master A, Master B, dan Wanita Terbuka, juara akan memenangi piala dan hadiah wang tunai $300, tempat kedua akan menerima piala dan hadiah wang tunai $200 dan tempat ketiga akan memenangi piala dan wang tunai $100.

Bagi kategori-kategori Novis, juara akan memenangi hadiah wang tunai $200, tempat kedua $150 dan tempat ketiga $100.

Orang ramai yang berminat bolehlah membuat pendaftaran yang telah mula dibukakan melalui online di alamat www.threegmedia.com/walk-run-cycle/register.php dan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 12 Februari depan.

Dalam pada itu, Pusat Ehsan juga mengalu-alukan syarikat dan orang ramai untuk sama-sama menjayakan acara berkenaan di mana mereka boleh menaja pingat ataupun baju, yang mana Pusat Ehsan mengalu-alukan tajaan sebanyak 500 pingat dan 200 helai baju.

Sebagai balasan, Pusat Ehsan akan menatah logo syarikat yang terlibat di pingat berkenaan dan mencetak logo syarikat yang terlibat di sebelah lengan baju berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA