Pusat Ehsan Belait terima sumbangan

Pusat Ehsan Belait terima sumbangan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 18 Ogos – Sebagai langkah berterusan dalam memberi sokongan terhadap masyarakat kurang upaya di negara ini, rombongan seramai 10 orang terdiri daripada kalangan ahli-ahli Biro Wanita Persatuan Foochow Belait, telah mengadakan lawatan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) cawangan Daerah Belait, hari ini.

Rombongan yang diketuai oleh Awang Tan Ping itu turut berpeluang mendengar taklimat ringkas mengenai fungsi pusat tersebut yang disampaikan oleh Pengurus Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar.

Dayang Hamimah dalam taklimatnya telah menyentuh serba sedikit tentang penyediaan pendidikan, latihan, pemedulian dan perkhidmatan pemulihan anggota yang berkualiti kepada kalangan pelajar pusat berkenaan.

Rombongan yang disertai sama wakil biro berkenaan, Dayang Agnes Kwong juga berkesempatan menyaksikan aktiviti dan kegiatan seharian pelajar pusat, melalui program yang telah disediakan, dan seterusnya melawat kelas-kelas serta bahagian-bahagian bangunan pusat itu.

Dayang Hamimah ketika menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan Persatuan Foochow, Awang Tan Ping.
Dayang Hamimah ketika menyampaikan cenderahati kepada ketua rombongan Persatuan Foochow, Awang Tan Ping.
Persatuan Foochow Kuala Belait bergambar ramai bersama para pelajar Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait dalam lawatan mereka, kelmarin.
Persatuan Foochow Kuala Belait bergambar ramai bersama para pelajar Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait dalam lawatan mereka, kelmarin.

Semasa lawatan itu, rombongan turut menyampaikan sumbangan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada para pelajar pusat tersebut berbentuk paket hijau serta beg-beg ‘goodies’ dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, para pelajar turut memeriahkan lagi suasana dengan mendendangkan lagu Hari Raya dan menari bersama-sama ahli-ahli persatuan sebagai tanda penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang terus menyokong mereka sebagai insan istimewa.

Lawatan itu bertujuan antara lain adalah untuk meninjau secara lebih dekat akan keperluan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berurusan dengan orang-orang kurang upaya (OKU) di negara ini, di samping membuka minda dan memberi kesedaran kepada ahli-ahli mereka mengenai insan-insan istimewa di pusat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA