Pusat Ehsan Belait terima sumbangan

Pusat Ehsan Belait terima sumbangan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 10 Ogos – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait, hari ini, telah menerima sumbangan untuk keperluan pemuliharaan bangunannya yang bernilai $7,958.44 daripada Kelab Golf Panaga.

Sumbangan diserahkan oleh Mantan Kapten kelab sesi 2011-2014, Haji Mohd Jair bin Haji Japar kepada Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab.

Majlis penyerahan sumbangan itu, yang berlangsung di pusat berkenaan, turut disaksikan sama oleh beberapa orang ahli komiti kelab tersebut.

Sumbangan tersebut hasil daripada kutipan perlawanan golf amal bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dua tahun lalu.

Semasa temu bual bersama Media Permata, Haji Mohd Jair menyatakan kelab tersebut bercadang untuk mengadakan lagi perlawanan amal sama ada pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan khusus bagi Pusat Ehsan Kuala Belait.

Sumbangan Kelab Golf Panaga disampaikan oleh Haji Mohd Jair (tengah kanan) kepada Dato Paduka Haji Mohd Alimin (tengah kiri) sambil bergambar ramai bersama ahli-ahli komiti kelab dan Pengurus Pusat Ehsan cawangan Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar, tenaga pengajar serta para pelajar pusat berkenaan.
Sumbangan Kelab Golf Panaga disampaikan oleh Haji Mohd Jair (tengah kanan) kepada Dato Paduka Haji Mohd Alimin (tengah kiri) sambil bergambar ramai bersama ahli-ahli komiti kelab dan Pengurus Pusat Ehsan cawangan Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar, tenaga pengajar serta para pelajar pusat berkenaan.

Menurutnya, perlawanan itu nanti dijangka akan dianjurkan oleh Pusat Ehsan dengan disokong oleh Kelab Golf Panaga, dan rancangan awal, perlawanan akan diadakan sebanyak dua kali dalam setahun.

Sokongan berterusan kelab itu kepada pusat berkenaan adalah bagi membantu menyediakan keperluan pusat, dan dalam masa yang sama menyokong usaha pusat itu yang menempatkan pelajar-pelajar berkeperluan khas dan kurang upaya, dari segi memberikan pembelajaran dan sebagainya.

Pusat tersebut juga dijangka akan menerima bantuan keperluan penghawa dingin dan kipas angin daripada badan pertubuhan bukan kerajaan esok.

ARTIKEL YANG SAMA