Pusat Ehsan terima sumbangan masyarakat Bangladesh

Pusat Ehsan terima sumbangan masyarakat Bangladesh

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Program-program pendidikan yang dilaksanakan untuk pelajar-pelajar istimewa di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bukan sahaja menumpukan kepada program pendidikan sahaja tetapi juga meliputi kemahiran hidup serta memberikan peluang kepada mereka untuk hidup berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.

Program-program yang dikendalikan itu dilaksanakan oleh tenaga pengajar sukarelawan yang dibiayai sepenuhnya atas sumbangan ikhlas dan derma yang dihulurkan oleh pelbagai agensi, pihak swasta dan perseorangan.

Menerusi sumbangan itu, bukan sahaja ia dapat memastikan kebajikan pendidikan para pelajar istimewa itu dijaga tetapi dapat membantu untuk menghulurkan sumbangan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, Pusat Ehsan terus mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang berbesar hati dalam menghulurkan sumbangan derma termasuk masyarakat Bangladesh di negara ini pada Majlis Penyampaian Sumbangan Derma yang berlangsung di Pusat Ehsan Bengkurong, hari ini.

Pada majlis itu, sumbangan berbentuk wang tunai disampaikan oleh isteri Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Dr. Thamina Begum kepada Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin.

Pengiran Datin Hajah Noraini (kanan) menerima sumbangan derma daripada Dr. Tahmina Begum (kiri) pada majlis berkenaan.
Pengiran Datin Hajah Noraini (kanan) menerima sumbangan derma daripada Dr. Tahmina Begum (kiri) pada majlis berkenaan.

Turut hadir ialah Pemegang Amanah Pusat Ehsan Dasar dan Perancangan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman serta rombongan warga Bangladesh.

Sumbangan derma itu merupakan hasil jualan yang berjaya dikumpulkan semasa Pesta Baishakhi yang diadakan di kawasan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Sungai Akar pada 17 April lalu dan juga menerusi penyertaan dalam Pesta Makanan Antarabangsa yang diadakan di Kelab Rekreasi Diraja Brunei pada 15 Mei lalu.

Dalam kedua-dua acara jualan itu, wanita-wanita daripada masyarakat Bangladesh telah membuat dan menjual makanan buatan mereka sendiri yang mana hasil jualan adalah dihasratkan untuk sumbangan derma kepada yang memerlukannya.

ARTIKEL YANG SAMA