Pusat Ehsan terima sumbangan Parti Pembangunan Bangsa

Pusat Ehsan terima sumbangan Parti Pembangunan Bangsa

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 11 Ogos – Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait terus menerima sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan seperti Parti Pembangunan Bangsa (NDP) yang menghulurkan satu unit penghawa dingin dan dua unit kipas.

Penyampaian sumbangan yang berlangsung di pusat berkenaan, hari ini, disempurnakan oleh Ketua Biro Alam Sekitar NDP, Haji Metali bin Ibrahim kepada Pengurus Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait, Dayang Hamimah binti Haji Sapar.

Turut hadir menyaksikan penyampaian sumbangan berkenaan ialah kalangan ahli-ahli Badan Perhubungan NDP Daerah Belait dan ahli-ahli ranting pertubuhan itu.

Dayang Hamimah dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada penyumbang pusat itu, dan berharap ia akan berterusan sebagai tanda memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar di pusat berkenaan yang terdiri daripada mereka yang kurang upaya.

Sumbangan daripada Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait.
Sumbangan daripada Parti Pembangunan Bangsa (NDP) kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al Hajjah Maryam cawangan Daerah Belait.

Sumbangan tersebut merupakan antara aktiviti berkebajikan yang diusahakan oleh NDP menerusi Badan Perhubungan NDP Daerah Belait, yang diketuai oleh Naib Presidennya, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Haji Talib.

Ini merupakan kali kedua parti berkenaan menghulurkan sumbangan kepada Pusat Ehsan cawangan Daerah Belait selepas yang pertama kira-kira tiga tahun lalu berupa pemasangan papan tanda pusat dan juga kerja-kerja mencantikkan kawasan taman pusat berkenaan, yang diketuai oleh Haji Metali.

ARTIKEL YANG SAMA