Pusat Kegiatan Warga Emas di setiap kawasan perumahan

Pusat Kegiatan Warga Emas di setiap kawasan perumahan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Julai – Kesejahteraan warga emas diberikan keutamaan kerana ia menjadi harapan negara supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang aktif dan produktif dengan mengisikan masa dengan pelbagai kegiatan bermanfaat.

Dalam hubungan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berharap untuk menubuhkan Pusat Kegiatan Warga Emas di setiap kawasan perumahan di Negara Brunei Darussalam.

Melalui pusat berkenaan, warga emas mempunyai sebuah pusat untuk mengendalikan dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan yang bermanfaat serta supaya mereka terus bergiat aktif dalam masyarakat.

Harapan itu dikongsi oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah semasa Majlis Penyerahan Derma Tabung Anak-anak Yatim Kebangsaan yang berlangsung di KKBS, Jalan Kebangsaan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa Pusat Kegiatan Warga Emas itu memberikan peluang kepada warga emas untuk terus bergiat aktif dan menyertai dalam pelbagai kegiatan termasuk kegiatan keagamaan dan sosial.

Yang Berhormat Pehin mengongsi hasrat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas di setiap kawasan perumahan di seluruh negara.
Yang Berhormat Pehin mengongsi hasrat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas di setiap kawasan perumahan di seluruh negara.

Dengan menyertai kegiatan-kegiatan yang dikendalikan di pusat berkenaan, warga emas dapat mengisi masa lapang mereka dengan kegiatan yang bermanfaat supaya mereka tidak dibelenggu sindrom sarang kosong (empty nest syndrome).

Beliau juga berkata bahawa ia juga merupakan salah satu usaha kementerian untuk bersedia menghadapi penduduk negara yang semakin menua (aging population) namun Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa pusat itu bukannya pusat penjagaan warga emas tetapi adalah pusat bagi memberikan peluang kepada warga emas untuk mengendalikan dan mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan yang membina dan bermanfaat pada bukan sahaja diri mereka tetapi juga golongan belia untuk menimba ilmu serta pengalaman dari warga-warga emas berkenaan.

Penubuhan Pusat Kegiatan Warga Emas adalah bertepatan dengan strategi negara bagi mewujudkan warga emas yang sejahtera dan warga emas yang dapat menjalani kehidupan aktif serta produktif dengan mengisikan masa mereka dengan kegiatan-kegiatan bermanfaat.

Pusat itu diharap akan menjadi salah satu pusat sokongan masyarakat bagi warga emas mengadakan kegiatan-kegiatan yang melibatkan masyarakat dalam pembangunan negara. Warga emas digalakkan untuk mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan berkebajikan yang membina, beriadah dan bersukan untuk menggalakkan penuaan aktif.

ARTIKEL YANG SAMA