Pusat kemasyarakatan jadi balai ibadah

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Dalam usaha membantu memenuhi keperluan jemaah di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Mentiri yang rosak teruk dan tidak dapat digunakan buat sementara waktu akibat kebakaran baru-baru ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama memaklumkan bahawa pusat kemasyarakatan kampung tersebut akan digunakan sebagai balai ibadah sementara.

Ia akan digunakan bagi kegiatan ibadah seperti sembahyang fardu jemaah lima waktu dan sembahyang Jumaat serta kegiatan lain seperti kelas membaca Al-Quran dan Muqaddam, sembahyang sunat terawih dan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh menerangkan mengenai penggunaan pusat kemasyarakatan itu pada sidang media yang diadakan di KHEU hari ini.

Menurutnya lagi, Pusat Kemasyarakatan RPN Kampung Mentiri itu dapat menampung 500 orang jemaah dan beberapa buah kem turut didirikan bagi menampung jumlah jemaah sehingga 1,000 orang. Manakala pegawai-pegawai masjid lama akan menjadi imam di pusat itu.

Haji Abdul Rajid ketika menerangkan mengenai pusat kemasyarakatan yang akan digunakan untuk kegiatan keagamaan di kampung itu.
Haji Abdul Rajid ketika menerangkan mengenai pusat kemasyarakatan yang akan digunakan untuk kegiatan keagamaan di kampung itu.
Pusat Kemasyarakatan RPN Kampung Mentiri dapat menampung seramai 500 orang jemaah dan beberapa buah kem telah didirikan di kawasan pusat tersebut bagi menampung tambahan jemaah sehingga lebih 1,000 orang jemaah.
Pusat Kemasyarakatan RPN Kampung Mentiri dapat menampung seramai 500 orang jemaah dan beberapa buah kem telah didirikan di kawasan pusat tersebut bagi menampung tambahan jemaah sehingga lebih 1,000 orang jemaah.

“Kami juga ingin memaklumkan kepada guru-guru, tenaga pengajar dan murid-murid kelas Al-Quran dan Muqaddam bahawa kelas-kelas ini akan ditiadakan pada 7 April dan akan diadakan semula pada 14 April di pusat ini,” katanya.

Beliau mengharapkan kemudahan ini akan digunapakai oleh Jemaah masjid kampung itu dan kawasan sekitarnya. Jemaah dan penduduk juga dinasihatkan untuk menggunakan masjid-masjid lain berdekatan sementara kerja-kerja membaik pulih Masjid RPN Kampung Mentiri diusahakan.

KHEU juga berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan, majlis perundingan kampung dan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid RPN Kampung Mentiri serta penduduknya yang terlibat menangani kebakaran yang berlaku.