Pusat kesihatan terbesar

Pusat kesihatan terbesar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Pusat Kesihatan Berakas baru yang akan mula beroperasi 16 Mei nanti, merupakan pusat kesihatan terbesar di negara ini dan akan menawarkan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif.

Setelah ia beroperasi, beberapa buah pusat kesihatan lain iaitu Pusat Kesihatan Berakas A, Pusat Kesihatan Berakas B, Klinik Kesihatan Perpindahan Lambak Kanan dan Klinik Kesihatan Sungai Hanching akan ditutup dan perkhidmatan-perkhidmatannya akan dipindahkan ke Pusat Kesihatan Berakas yang baru itu.

Sehubungan itu, bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan, Pusat Kesihatan Berakas A, Klinik Kesihatan Perpindahan Lambak Kanan dan Klinik Kesihatan Sungai Hanching akan mula ditutup sepenuhnya pada 14 Mei manakala Pusat Kesihatan Berakas B pula mula ditutup bermula jam 12:15 tengah hari pada 14 Mei.

Semasa hari penutupan itu, penduduk-penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tadahan Pusat Kesihatan Berakas A yang ingin mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi adalah dinasihatkan untuk berkunjung ke Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah di Simpang 256-23, Kampung Rimba, Gadong.

Manakala itu, orang ramai yang tinggal di kawasan tadahan Pusat Kesihatan Berakas B, boleh berkunjung ke Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan, Blok 2G, Kondominium Ong Sum Ping, Jalan Ong Sum Ping.

Dr. Haji Zulhilmi (kiri) dan Dr. Dayang Hajah Maslina (tengah) memberikan penerangan kepada pihak media mengenai Pusat Kesihatan Berakas baru yang akan mula beroperasi pada 16 Mei.
Dr. Haji Zulhilmi (kiri) dan Dr. Dayang Hajah Maslina (tengah) memberikan penerangan kepada pihak media mengenai Pusat Kesihatan Berakas baru yang akan mula beroperasi pada 16 Mei.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal), di Kementerian Kesihatan, Dr. Dayang Hajah Maslina binti Haji Mohsin semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Sejak tahun 2000, Pusat Kesihatan Berakas A dan Pusat Kesihatan Berakas B telah menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi bagi penduduk-penduduk yang menetap di Mukim Berakas A dan Mukim Berakas B.”

“Dengan peningkatan jumlah penduduk dan kepesatan projek-projek pembangunan, Kementerian Kesihatan menyedari akan keperluan untuk mengembangkan kapasiti untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk Mukim Berakas A dan Berakas B,” jelas Dr. Dayang Hajah Maslina lagi.

Sementara itu, Pemangku Pakar Penjagaan Kesihatan Asasi, Pusat Kesihatan Berakas, Dr. Haji Zulhilmi bin Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Abdullah, mengulas bahawa jumlah penduduk dalam kawasan tadahan bagi Pusat Kesihatan Berakas adalah seramai lebih 70,000 orang.

Mengulas mengenai tempoh peralihan pada 14 Mei nanti, beliau berkata bahawa jumlah doktor yang ditempatkan di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah dan Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan akan ditambah dan oleh itu, yakin bahawa dengan penambahan tenaga kerja pada hari berkenaan, ia mampu untuk menampung jumlah mereka yang berhasrat mendapatkan rawatan pada hari itu.

Pusat Kesihatan Berakas menawarkan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dengan penyepaduan perkhidmatan empat buah pusat atau kemudahan kesihatan iaitu Pusat Kesihatan Berakas A, Klinik Kesihatan Perpindahan Lambak Kanan dan Klinik Kesihatan Sungai Hanching di mana inisiatif penyepaduan itu bertujuan untuk mencapai salah satu keutamaan strategik Kementerian Kesihatan iaitu untuk memantapkan lagi kualiti pemberian perkhidmatan melalui penyepaduan perkhidmatan, kemudahan serta infrastruktur yang sedia ada.

Penyepaduan itu adalah dihasratkan untuk memberikan nilai tambah kepada para pelanggan atau orang awam serta untuk mengurangkan pembaziran.

Pusat Kesihatan Berakas dibina dengan berdasarkan tiga matlamat iaitu untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, menjadikan pusat itu sebagai pusat kesihatan sehenti dan giat terlibat dengan kegiatan kesihatan masyarakat setempat.

Ke arah mencapai matlamat berkenaan, pemberian perkhidmatan di Pusat Kesihatan Berakas akan dikendalikan secara berbeza dari pusat kesihatan sebelumnya dan bukannya beroperasi seperti sedia kala.

Sebagai permulaan, Pusat Kesihatan Berakas akan menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan teras iaitu Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi seperti Klinik Umum, Klinik Flu dan Klinik Penyakit Kronik, Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak, Perkhidmatan Pergigian, Perkhidmatan Klinik Mata, Perkhidmatan Farmasi, Perkhidmatan Penjagaan Pemakanan dan Perkhidmatan Pengambilan Darah.

Di samping itu, pusat kesihatan berkenaan juga akan memberikan perkhidmatan-perkhidmatan tambahan yang sebelum ini tidak diberikan di pusat-pusat kesihatan yang lain seperti Perkhidmatan Rehabilitasi, Perkhidmatan Kesejahteraan Komuniti (Psikiatri), Perkhidmatan Klinik Cara Hidup Sihat, Perkhidmatan Radiologi (X-Ray) dan Perkhidmatan Paramedik.

Bagi memastikan pemberian perkhidmatan yang cemerlang dan selesa kepada pelanggan-pelanggannya, Pusat Kesihatan Berakas dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk para pesakit dan pengunjung termasuk surau, bilik penyusuan susu ibu serta sekitar 200 petak tempat letak kereta untuk orang ramai dan kakitangan.

Di samping itu, pusat kesihatan itu juga dalam proses untuk menyediakan sebuah kafe.

Sebagai satu lagi inisiatif untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang, pusat kesihatan itu juga menambah waktu perkhidmatannya iaitu bermula dari jam 7 pagi hingga 9 malam bagi hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu serta dari pukul 2 petang hingga 9 malam pada Jumaat, Ahad dan hari-hari kelepasan awam.

Perkhidmatan yang dijalankan akan menggunakan sistem temu janji di mana orang ramai yang ingin berjumpa doktor hendaklah membuat perjanjian untuk berjumpa doktor.

Para pesakit dan pengunjung dinasihatkan untuk mendaftar sekurang-kurangnya 30 minit sebelum masa perjanjian.

Dengan itu, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Asasi di luar waktu bekerja yang pada masa ini diadakan di Pusat Kesihatan Bandar Seri Begawan, Ong Sum Ping, akan dipindahkan dan diambil alih oleh Pusat Kesihatan Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA