Pusat Kumon buka cawangan kedua

Pusat Kumon buka cawangan kedua

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Pusat Pembelajaran Aspirasi Kumon kini telah membuka cawangan keduanya hari ini, di Unit 3, Tingkat 1, Blok A, Setia Kenangan 2, Kiulap.

Hadir merasmikan pusat itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki. Turut hadir ialah Ketua Pengajar Pusat Kumon, Daisy Han.

Timbalan Pengurus Am Kumon Asia & Oceania, Yosuke Sugawa dalam ucapannya melahirkan perasaan gembira atas kejayaan pembukaan cawangan kedua Kumon itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Jepun dan Kementerian Pendidikan atas sokongan dan dorongan yang berterusan terhadap Pusat Pembelajaran Kumon.

Yosuke Sugawa (kiri), Puan Yang Terutama Noriko Iki (tengah) dan Daisy Han semasa menyempurnakan perasmian.
Yosuke Sugawa (kiri), Puan Yang Terutama Noriko Iki (tengah) dan Daisy Han semasa menyempurnakan perasmian.
Puan Yang Terutama Noriko Iki bersama tetamu lain ketika berada dalam Pusat Pembelajaran Aspirasi Kumon.
Puan Yang Terutama Noriko Iki bersama tetamu lain ketika berada dalam Pusat Pembelajaran Aspirasi Kumon.

Negara Brunei Darussalam merupakan negara ke-49 memiliki pusat pembelajaran itu yang serupa seperti kelas tuisyen persendirian dengan menawarkan kaedah pembelajaran individu iaitu Kumon.

Kaedah Kumon berasal dari Jepun bertujuan untuk membantu meningkatkan potensi setiap individu pelajar dan membangunkan keupayaan mereka ke tahap maksimum dan Kumon kini merupakan program global terbesar untuk kanak-kanak.

Pusat pembelajaran ini beroperasi setiap hari Selasa, Rabu, Jumaat dan Sabtu dengan menawarkan kelas Matematik dan Bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar daripada peringkat prasekolah hingga universiti.

Cawangan pertamanya yang dirasmikan tahun lepas bertempat di Unit 31, Tingkat Bawah, Kompleks BT, Kampung Jaya Setia.

ARTIKEL YANG SAMA