Pusat Latihan Kimpalan IBTE diiktiraf

Pusat Latihan Kimpalan IBTE diiktiraf

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 14 Jan – Seksyen Fabrikasi dan Kimpalan Jabatan Tenaga, Institusi Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (SVSB rasmi sebagai sebuah Pusat Latihan TWI yang bertauliah, dengan majlis penganugerahannya yang berlangsung di Bilik Kuliah Jabatan Mekanikal, IBTE, Kampus SVSB di sini, hari ini.

Penyampaian Sijil Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Pengarah TWI Technology (S.E Asia) Sdn Bhd Awang Mohamad Darus bin Taib kepada Pengetua IBTE Kampus SVSB, Awang Akandi bin Abd Razak yang turut disaksikan oleh tetamu kehormat.

Turut hadir timbalan-timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, pengarah-pengarah bahagian dan pengetua-pengetua dari IBTE. Dengan penganugerahan sijil akreditasi tersebut, Seksyen Fabrikasi dan Kimpalan Jabatan Tenaga, IBTE, kini diperakui menjadi sebuah Pusat Pentauliahan bagi latihan kimpalan di negara ini oleh TWI yang juga merupakan sebuah organisasi teknologi yang terkemuka di dunia, sekali gus menawarkan program mengikut taraf piawaian yang ditetapkan oleh Organisasi TWI.

Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) IBTE, Awang Lim Kian Boon.

Awang Mohamad Darus (kiri) menyampaikan sijil pentauliahan kepada Pengetua IBTE Kampus SVSB.
Awang Mohamad Darus (kiri) menyampaikan sijil pentauliahan kepada Pengetua IBTE Kampus SVSB.

Pengetua IBTE Kampus SVSB, Awang Akandi dalam ucapannya berkata, sebagai pusat latihan yang bertauliah TWI, kampus ini akan dapat menawarkan kursus kimpalan yang selaras dengan piawaian, selain mempunyai kelebihan dalam meningkatkan pengalaman latihan serta kampus yang boleh memberikan latihan profesional dengan mendapatkan persijilan berkelayakan dalam bidang-bidang kimpalan 3G dan 6G.

Menurutnya lagi, bagi graduan yang mempunyai sijil TWI, membuktikan bahawa mereka mempunyai tahan kecekapan yang menunjukkan komitmen dan prestasi kualiti dan output, selain akreditasi itu juga telah menyediakan peluang kepada IBTE menjadi sebahagian daripada kimpalan rangkaian global dan memberi peluang kepada graduan untuk bekerja di peringkat serantau dan antarabangsa.

Majlis diakhiri dengan lawatan ke kemudahan Seksyen Fabrikasi dan Kimpalan di kampus berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA