Pusat latihan SOBD kedua dibuka

Pusat latihan SOBD kedua dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Program Penyesuaian Kecergasan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) telah melancarkan tempat latihan keduanya bagi atlet yang kurang upaya intelektual di Pusat Latihan Hybrid Movement Menglait.

Hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengarah Sukarelawan SOBD yang juga Pengurus Program Atlet Muda SOBD, Dawn Lee.

Menurut Pengurus Program dan Jurulatih Sukarelawan Program Penyesuaian Kecergasan Olimpik Khas yang juga Jurulatih kecergasan di pusat latihan tersebut, Rachael Lee, para atlet SOBD yang berumur 12 tahun ke atas telah dilatih setiap hari Sabtu di Fitness Zone sejak September 2015.

“Kita telah melihat kepada peningkatan yang besar bukan sahaja dalam kecergasan fizikal dan pergerakan, tetapi juga dari segi perasaan dan emosi mereka. Program Penyesuaian Kecergasan SOBD ini juga bertujuan untuk menambah atlet SOBD kami dalam pelbagai Sukan Olimpik Khas seperti Bola Sepak, Boling, Bocce, Olahraga dan Bola Keranjang. Kami tidak sabar untuk melihat keputusan yang sama daripada atlet muda SOBD kami.” Ujarnya lagi.

Sebahagian daripada peserta yang mengikuti latihan kecergasan bersama jurulatih di pusat latihan tersebut.
Sebahagian daripada peserta yang mengikuti latihan kecergasan bersama jurulatih di pusat latihan tersebut.

Manakala, para atlet muda SOBD yang berumur 8 hingga 11 tahun akan berkumpul di pusat tersebut seminggu sekali pada setiap hari Rabu bagi memberi tumpuan kepada meningkatkan kecergasan fizikal mereka, pergerakan motor dan kesejahteraan am dalam kehidupan seharian.

Program Penyesuaian Kecergasan ini merupakan inisiatif SOBD untuk mengumpul dan melatih lebih ramai jurulatih Sukan Olimpik Khas untuk membantu program kecergasan bagi perjalanan dari setiap platform yang berbeza di seluruh Brunei, dengan memberi peluang yang sama rata kepada atlet lain yang kurang upaya intelektual yang tidak berada di bawah SOBD untuk mendapatkan pengalaman yang sama.

Bagi individu yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai SOBD dan pelbagai program yang ditawarkan, mereka bolehlah berhubung melalui e-mel so_brunei@hotmail.com.