Pusat Pemulihan Mini haiwan dijangka siap bulan depan

Pusat Pemulihan Mini haiwan dijangka siap bulan depan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – “Pusat Pemulihan Mini” pertama Brunei yang dikhaskan untuk memulihkan dan menempatkan hidupan liar, dijadualkan siap pada pertengahan bulan Julai, yang mana, pembinaannya pada masa ini berada di peringkat awal dan jawatankuasa sedang mencari penaja serta sukarelawan untuk membantu mereka menjayakan projek bukan untung ini.

Projek itu dimulakan oleh kelab hidupan liar tempatan yang kebanyakan ahlinya terdiri daripada pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD). Pusat itu akan digunakan untuk menempatkan haiwan biasa dan terancam yang telah diselamatkan sementara menunggu untuk dilepaskan semula ke hutan.

Setakat ini, kumpulan hidupan liar berkenaan telah menyelamat dan membebaskan 53 haiwan daripada pemburu dan orang awam lain dalam tempoh dua tahun lalu.

Selain itu, terdapat pertambahan dalam usaha menyelamat disebabkan program pendidikan mereka, yang mana sebanyak 44 majlis ceramah telah diadakan di sekolah dan kolej di seluruh negara.

Sebelum ini, haiwan yang diselamatkan sama ada dilepaskan dengan serta merta selepas diselamatkan atau ditempatkan buat sementara waktu di rumah ahli kelab.

Salah seorang ahli kelab yang menyumbangkan tenaga membina pusat berkenaan.
Salah seorang ahli kelab yang menyumbangkan tenaga membina pusat berkenaan.
Mo Kamit mengetuai pembinaan pusat pemulihan mini berkenaan.
Mo Kamit mengetuai pembinaan pusat pemulihan mini berkenaan.

Dalam kes di mana haiwan menjadi terlalu jinak atau cedera, misi pembebasan mesti ditangguhkan demi memulihkan haiwan berkenaan untuk memastikannya bersedia kembali ke hutan.

Isu dan masalah tersebut merupakan sebab-sebab utama timbulnya idea untuk membina Pusat Pemulihan Mini, yang mana pusat ini berupaya menyediakan persekitaran yang lebih semula jadi untuk haiwan.

Menerusi inisiatif ini, kumpulan berkenaan berharap dapat menambah kesedaran mengenai situasi yang dihadapi oleh hidupan liar terancam di Brunei.

Pembinaan pusat itu, yang berukuran 8 meter dengan 8 meter, telah dimulakan pada 16 Jun lalu dan dijangka siap dalam masa kira-kira sebulan.

Kerja-kerja pembinaan dipimpin dan direka oleh Mo Kamit, iaitu seorang pelajar tempatan dengan latar belakang kejuruteraan.

Lima pelatih yang terdiri daripada anggota kumpulan akan diberikan tanggungjawab menjaga haiwan dalam tempoh pemulihan.

Setakat ini, inisiatif berkenaan telah menerima sumbangan daripada syarikat swasta dan individu, bagaimanapun, ia masih memerlukan lebih banyak bantuan untuk membeli lebih banyak bahan demi menyelenggarakan dan mengembangkan pusat tersebut.

Orang ramai juga dipelawa untuk menjadi sukarelawan tatkala mereka meneruskan kerja-kerja pembinaan pada 5 dan 7 Julai.

Sukarelawan yang berminat boleh menghubungi ketua pemulihan dengan menghantar e-mel ke alamat 1stopbrunei.rehabilitation@gmail.com.

Untuk perkhidmatan menyelamat dan membebaskan haiwan, orang ramai boleh menelefon 8785714 atau melayari akaun Instagram di @wildlife dan laman facebook di ISBWildlife.

ARTIKEL YANG SAMA