Pusat perkhidmatan pertama Regus dibuka

Pusat perkhidmatan pertama Regus dibuka

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Sebuah syarikat pembekal ruang pejabat serta perkhidmatan perniagaan kepada syarikat yang baru memulakan perniagaan, Regus kini menawarkan khidmatnya kepada usahawan baru dengan membuka pusat perkhidmatannya yang pertama di negara ini.

Perasmian pusat perkhidmatan Regus di Bangunan Persatuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, selaku tetamu kehormat.

Hadir sama ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Hajah Normah Suria Hayati binti Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.

Regus dalam kenyatanyanya menyatakan bahawa, Negara Brunei Darussalam merupakan negara ke-106 di dunia di mana Regus membuat penampilannya dengan penumpuan utama kepada industri minyak dan gas di negara ini.

Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (tengah) merasmikan perkhidmatan penyediaan ruang pejabat Regus di Bangunan PGGMB.
Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (tengah) merasmikan perkhidmatan penyediaan ruang pejabat Regus di Bangunan PGGMB.

pg10_150617_bRegus pada asasnya menawarkan tiga perkhidmatan, iaitu khidmat ruang pejabat yang boleh disewa oleh sesiapa sahaja yang ingin menggunakan ruang pejabat yang lengkap dengan khidmat bagi tempoh jangka pendek.

Dengan mengenakan sewa antara $390 hingga $500 seorang (bergantung pada jenis ruang pejabat yang disewa) pelanggan Regus boleh menikmati khidmat penyambut tetamu yang akan menjawab semua panggilan telefon yang dialamatkan kepada ruang sewaan pejabat Regus serta menikmati minuman ringan yang disediakan secara percuma 24 jam setiap hari.

Selain itu, Regus juga menawarkan khidmat pejabat alam maya dengan mengenakan bayaran serendah $78 sebulan bagi seorang dan amat sesuai bagi mereka yang baru memulakan perniagaan atau sering bergerak dan tidak mementingkan ruang pejabat yang tetap.

Terletak di tengah-tengah ibu negara, Regus memberi manfaat dan nilai wang kepada perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memulakan perniagaan tanpa banyak mengeluarkan kos untuk memulakan perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA