Pusat sehenti produk Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Feb – Bagi menempatkan produk-produk jenama Brunei di bawah satu bumbung, Syarikat S. Naaz Sdn Bhd merancang untuk membuka kedai runcit jenama Brunei dengan mengundang para pembekal tempatan untuk menghadiri taklimat di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Kampung Anggerek Desa, Berakas, pada 15 Februari ini bagi menjalin usaha sama dan peluang pembekalan.

Menurut kenyataan daripada DARe, hari ini, kedai Pusat Cenderahati dan Produk-produk Tempatan Brunei yang dijangka dibuka bulan depan di ibu negara itu dihasratkan menjadi kedai sehenti bagi mengetengahkan produk-produk dan khidmat perusahaan mikro, kecil dan sederhana termasuk majlis-majlis perundingan mukim dan kampung.

S.Naaz dalam kenyataan tersebut mengatakan yang pusat berkenaan akan mampu menempatkan produk-produk dari kira-kira 60 hingga 80 buah syarikat dengan menyasarkan pelbagai jenis produk tempatan seperti makanan, kesihatan dan kecantikan, kesenian dan kebudayaan, kraf tangan dan barangan cenderahati yang mempamerkan cara hidup dan kebudayaan orang Brunei.

Tambah kenyataan itu lagi, semasa hari tersebut, syarikat berkenaan akan menyampaikan taklimat perusahaan kecil dan sederhana berkaitan projek tersebut disusuli dengan sesi soal jawab, pendaftaran dan penyerahan contoh-contoh produk.