Pusat Sejarah Brunei jadi contoh IAB

Pusat Sejarah Brunei jadi contoh IAB

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Penyelidikan dan penyelenggaraan yang dijalankan oleh Pusat Sejarah Brunei wajar dijadikan model dinamik jika Malaysia berhasrat untuk menubuhkan Pusat Sejarah Aminuddin Baki Borneo.

Cara pentadbiran, kajian serta penyelidikan yang dikendalikan oleh Pusat Sejarah Brunei menarik minat delegasi 11 orang pensyarah dari Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah dan Sarawak yang mengadakan lawatan kerja ke Pusat Sejarah, hari ini.

Minat itu disuarakan oleh ketua delegasi, iaitu Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak, Dr Shahri bin Abdul Rahman yang berkata, pengkajian sejarah oleh Negara Brunei Darussalam kini berada di peringkat ‘sejarah gunaan’ yang mana sejarah negara ini diaplikasikan dalam kehidupan seharian masyarakat.

Beliau juga menyanjung usaha Pusat Sejarah Brunei melaksanakan kajian dan penyelidikan holistik untuk mencungkil khazanah sejarah di setiap daerah sehingga melangkaui sempadan negara, sesuatu yang dapat dicontohi oleh Sabah dan Sarawak yang sehingga kini belum memulakan kajian sejarah mengenai asal usul daerah-daerah di kedua-dua negeri di Malaysia itu.

Awang Hanapi (kedua dari kanan) memperkenalkan Dr Shahri kepada para pegawai Pusat Sejarah se-masa kunjungan delegasi dari IAB ke Pusat Sejarah Brunei kelmarin.
Awang Hanapi (kedua dari kanan) memperkenalkan Dr Shahri kepada para pegawai Pusat Sejarah se-masa kunjungan delegasi dari IAB ke Pusat Sejarah Brunei kelmarin.

Lawatan delegasi dari Malaysia itu dimulakan dengan kata alu-aluan oleh Pemangku Timbalan Pengetua Pusat Sejarah, Awang Hanapi bin Salleh yang memperkenalkan ketua-ketua jabatan yang hadir.

Ini disusuli dengan taklimat mengenai struktur, peranan, fungsi dan aktiviti Pusat Sejarah Brunei yang disampaikan oleh Awang Mohd Hazman sebelum giliran Dr Shahri pula memperkenalkan para pegawai daripada delegasi beliau.

Pada sesi soal jawab itu juga, ekoran pertanyaan daripada tetamu sama ada Pusat Sejarah Brunei dan Institut Aminuddin Baki, dapat mengadakan perkongsian maklumat dan ilmu.

Awang Hanapi dengan sepakat berkata, antara bidang kerjasama yang dapat diusahakan bersama ialah dengan mengadakan seminar dan ceramah peringkat Borneo, pertukaran para pegawai, serta pertukaran bahan artikel, penerbitan dan mengadakan pameran bersama.

Pada pertemuan itu, Awang Hanapi turut menjelaskan peranan dan pendirian Pusat Sejarah Brunei apabila ditanya bagaimana bahan sejarah disebarkan kepada para pelajar dengan berkata, Pusat Sejarah Brunei sering bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam menyelaraskan bahan-bahan sejarah ke dalam kurikulum pendidikan di negara ini.

Walaupun Pusat Sejarah tidak terlibat dalam penggubalan kurikulum sejarah Kementerian Pendidikan, namun mereka sering dirujuk dan dibincangkan bersama bagi memastikan kesahihan sesuatu fakta sejarah.

Selain itu, katanya, Pusat Sejarah Brunei juga sering menganjurkan jerayawara, karnival, ceramah dan bengkel bagi melatih dan menggalakkan kanak-kanak menjadi penulis sejarah.

Sesi soal jawab itu diikuti dengan jamuan ringan bagi meraikan kunjungan pelawat itu sebelum mereka dibawa melawat ke Galeri Pameran Pusat Sejarah dan kedai buku yang menjual karya-karya penerbitan Pusat Sejarah Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA