Pusat Sejarah terbit 8 buku

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Dalam usaha memperkenalkan persejarahan Brunei ke mata dunia, Pusat Sejarah Brunei telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku yang mempunyai hubung kait dengan sejarah Brunei dan tahun ini, sebanyak lapan buah buku telah pun diterbitkannya.

Buku-buku terbitan baru itu ialah dua buku Kumpulan Kertas Kerja iaitu Rampai Budaya: Memperkasa Adat dan Adab Anak Brunei oleh Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar; dua buah buku sejarah iaitu Zaman Jepun di Brunei 1941–1945 yang ditulis oleh Haji Muhaimin bin Haji Mohamed dan Pensejarahan Brunei: Islam dan Evolusi Sosial yang ditulis oleh Profesor Madya Dr. Haji Asbol bin Haji Mail; dan buku Ke Arah Pembentukan Melayu Islam Beraja oleh Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, sebuah buku hasil kajian Dr. Haji Ramli bin Haji Tinkong iaitu Sejarah Pewarna Budaya dan Tradisi; dua buah Majalah Pusaka dan sebuah jurnal.

Menurut Pegawai Pemasaran, Bahagian Penerbitan dan Pemasaran di Pusat Sejarah, Dayang Norlydiaty binti Jaya, buku pertama diterbitkan oleh Pusat Sejarah Brunei ialah pada tahun 1983 dan sehingga pada tahun ini, Pusat Sejarah Brunei telah pun menerbitkan sebanyak 137 buah buku.

Buku-buku yang diterbitkan oleh Pusat Sejarah boleh dibaca oleh semua peringkat termasuk golongan dewasa dan kanak-kanak iaitu bagi buku Cerita Bergambar Sejarah.

Dayang Norlydiaty semasa mengikuti bazar jualan buku di Universiti Teknologi Brunei, baru-baru ini.
Dayang Norlydiaty semasa mengikuti bazar jualan buku di Universiti Teknologi Brunei, baru-baru ini.

Melalui penerbitan buku seumpama ini, Pusat Sejarah Brunei berharap ia akan dapat mengajak masyarakat berkongsi pengetahuan dan maklumat kerana sesebuah buku itu menyatukan catatan-catatan yang berselerak dan beberapa disiplin ilmu menjadi serangkaian data dan fakta yang berguna dalam kehidupan, terutama sekali buku-buku sejarah yang boleh menjadi pedoman dan pengajaran masa kini dan akan datang.

Selain itu, untuk mengetahui sinopsis atau keterangan mengenai buku-buku terbitan Pusat Sejarah Brunei orang ramai boleh melayari laman Facebook ‘Nara Wahana’ atau Blogspot ‘www.narawahana.blogspot.com’.

Orang ramai juga diberikan kemudahan dengan penghantaran buku-buku melalui pos dengan kos penghantaran ditanggung oleh pembeli sendiri.

Untuk mendapati buku-buku baru dan sebelumnya, orang ramai bolehlah berkunjung ke Kedai Buku Pusat Sejarah Brunei di ibu negara pada waktu pejabat atau kedai-kedai buku tertentu.