Pusat sokongan ditubuh

Pusat sokongan ditubuh

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jan – Kerajaan, melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) bakal menubuhkan Pusat Sokongan Perniagaan pada April 2016 yang akan memainkan peranan penting sebagai pusat utama bagi mendukung semua keperluan perniagaan, baik bagi pengusaha tempatan mahupun bagi pelabur langsung asing di negara ini.

Pusat tersebut, yang dijangka ditempatkan di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, akan menempatkan agensi-agensi berkepentingan bagi memudah cara urusan perniagaan di negara ini dan sebagai pemudah yang akan membantu perkembangan perniagaan tempatan serta menggalakkan lebih ramai lagi anak tempatan menceburi dunia perniagaan.

Ini diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim ketika merasmikan Hari Terbuka Perusahaan 2016 yang berlangsung Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar, setiausaha-setiausaha tetap dan para pegawai kanan yang lain.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman diberi penerangan di salah sebuah petak pameran Hari Ter-buka Perusahaan 2016 di Lobi Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman diberi penerangan di salah sebuah petak pameran Hari Ter-buka Perusahaan 2016 di Lobi Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Taman Teknologi Anggerek Desa kelmarin.

Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman berkata, kejatuhan harga minyak yang merudum sejak Jun 2014 daripada paras tertinggi AS$122 setong kepada di bawah paras AS$30 setong pada Januari 2016 telah menjejaskan hasil pendapatan semua negara pengeluar.

Brunei juga tidak terkecuali dengan kejatuhan harga minyak itu, yang mana pendapatan kerajaan telah menurun kira-kira 70 peratus daripada hasil yang diterima pada Tahun Kewangan 2012/2013 dengan defisit pada Tahun Kewangan 2014/2015 mencecah $213 juta manakala defisit Tahun Kewangan 2015/2016 sehingga Disember 2015 telah melebihi $1.6 bilion dan dijangka meningkat lebih $2.3 bilion pada akhir Tahun Kewangan 2015/2016.

“Oleh itu, langkah berhemah dan berjimat cermat perlu kita usahakan secara terus menerus bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan supaya defisit belanjawan ini akan terurus dan kewangan negara akan terus berdaya tahan.

“Ke arah itu, orang ramai perlu menerima hakikat sebenar yang kemampuan kerajaan untuk menampung perbelanjaan seperti dulu akan terbatas, perlu berasaskan keutamaan, keperluan, dan kemampuan serta kesan signifikannya dalam menjana aktiviti perekonomian dan peluang pekerjaan kepada anak tempatan,” kata beliau.

Menurutnya lagi, kejatuhan harga minyak dan gas global telah memaksa negara mempelbagaikan ekonomi khususnya di luar sektor minyak dan gas dan strategi seperti menarik pelabur asing dan usaha memperkukuhkan perusahaan kecil dan sederhana tempatan perlu dipergiat dan dilaksanakan secara berterusan.

Menyentuh mengenai peningkatan jumlah syarikat yang mendaftar pada 2015, sebanyak 568 buah syarikat berbanding 474 sepanjang 2014, beliau berkata perkara itu merupakan agenda utama yang menjadi fokus utama kerajaan terutama selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melantik Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Peneraju dan Pengerusi PENGGERAK.

Beliau menegaskan, melalui kepentingan Ease Of Doing Business secara proaktif dan konsisten, telah memantau secara berterusan prestasi, menetapkan sasaran yang bercita-cita tinggi dan mempengerusikan Mesyuarat Stocktake dengan pelbagai kementerian untuk mengkaji dan menilai pelan-pelan tindakan berasaskan data yang dikemas kini, sekali gus menggambarkan keprihatinan dan komitmen DYTM Pengiran Muda Mahkota yang menginginkan jentera kerajaan terus maju ke depan dengan pantas dan segera supaya hasrat kerajaan untuk menjadikan iklim perniagaan di negara ini lebih kondusif.

Berkaitan dengan persepsi antarabangsa dan bagi memastikan semua pengusaha mengetahui proses dan undang-undang yang berkaitan dengan perniagaan, pihak kerajaan telah mewujudkan laman sesawang di mana sebuah portal rujukan boleh diakses oleh pihak yang berkepentingan.

Kewujudan laman sesawang itu juga merupakan respons kepada pihak pengusaha untuk mengadakan sebuah pusat rujukan bagi perniagaan.

Selepas menyampaikan ucapannya, Yang Berhormat Pehin dengan diiringi oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di JPM turut melawat Pameran Hari Terbuka Perusahaan 2016 di Lobi Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi.

ARTIKEL YANG SAMA