Pusat Zakat Sabah sentiasa bantu golongan asnaf

Pusat Zakat Sabah sentiasa bantu golongan asnaf

TAWAU, 15 Okt – Pusat Zakat Sabah (PZS) sentiasa berusaha membantu meningkatkan taraf ekonomi golongan asnaf dengan menganjurkan pelbagai program, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat.

Beliau berkata agensi berkenaan menganjurkan pelbagai program yang dapat membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Pelbagai program dianjurkan termasuk Program Usahawan Ayamas, Program Kedai Runcit Asnaf, Program Usahawan Minyak Asnaf dan banyak lagi program yang sedang dirancang,” katanya ketika merasmikan Program Kemahiran Kraf Kreatif anjuran PZS di sini, hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, Hamisa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu berkata program itu disertai 20 peserta dan kali ketiga dianjurkan di Sabah.

“Program ini bertujuan memberi ilmu kemahiran kreatif kepada peserta secara percuma bagi membantu mencetuskan usaha niaga yang dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” katanya. – Bernama