Pustakawan perlu belajar kemahiran baru

Pustakawan perlu belajar kemahiran baru

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Persidangan Transformasi Perpustakaan: Menonjolkan Potensi Anda Sebagai Pustakawan yang berlangsung selama dua hari berakhir pagi tadi dengan kesimpulan resolusi dan penyampaian sijil kepada para peserta.

Penutupan rasmi persidangan berkenaan telah disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Pengiran Dr. Mohd Esa Al-Islam bin Pengiran Haji Mohd Yunus.

Presiden Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam (BLA), Dayang Nellie binti Dato Paduka Haji Sunny dalam ucapannya telah menjelaskan sedikit sebanyak mengenai resolusi persidangan yang antara lain menyeru kerjasama kerajaan dan sektor swasta serta sokongan kuat dan berterusan daripada sektor kerajaan dan swasta untuk memberi pengiktirafan.

Ia juga menyatakan keperluan untuk menyokong profesion dan pembangunan perpustakaan lagi di negara ini serta untuk meletakkan perpustakaan di bahagian atas agenda mereka.

Sementara itu, dalam ucapan penutupan rasmi, Pengiran Dr. Mohd Esa Al-Islam antara lain menyatakan bahawa perpustakaan telah ditransformasikan bukan sahaja kerana revolusi digital, malahan disebabkan jenis maklumat yang diperlukan daripada akademik telah menjadi semakin kompleks.

Pengiran Dr. Mohd Esa Al-Islam ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta persidangan.
Pengiran Dr. Mohd Esa Al-Islam ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta persidangan.

Era teknologi digital, katanya, telah mengubah cara maklumat disalurkan dan diakses, ia telah menyokong dan memperbaiki cara maklumat disebarkan kepada komuniti.

Oleh itu, bagi menyokong perubahan ini, terdapat keperluan untuk menyediakan kepimpinan perpustakaan dalam persekitaran perpustakaan yang dinamik dan semakin digital ini, ujarnya.

Ini, tambah beliau, bermatlamat untuk membantu perpustakaan-perpustakaan mempergunakan teknologi-teknologi baru dan muncul dengan mempromosikan dan menyokong pengujikajian serta inovasi teknologi.

Satu lagi matlamat yang ditekannya adalah untuk meningkatkan peluang-peluang pembangunan dan latihan kepimpinan yang direka bagi menyokong transformasi perpustakaan yang berterusan.

Para pengguna perlu belajar bagaimana mengakses maklumat digital, bagaimana menilainya, dan bagaimana melaksanakan proses kreatif mereka sendiri menggunakan alat-alat baru.

Oleh sebab itu, pustakawan-pustakawan diperlukan untuk belajar kemahiran-kemahiran baru yang kerap melibatkan teknologi-teknologi komputer.

“Saya percaya, banyak isu telah dibentangkan dan dibincangkan selama dua hari persidangan. Saya berharap semua pustakawan akan memahami sepenuhnya faktor kejayaan kritikal yang perlu dipertimbangkan perpustakaan untuk menghadapi proses transformasi,” ujar beliau sebelum mengakhiri ucapan.

ARTIKEL YANG SAMA