Putera Ali calon terbaik terajui FIFA

Putera Ali calon terbaik terajui FIFA

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) – Presiden Persatuan Bola Sepak Jordan Putera Ali Al Hussein adalah tokoh terbaik untuk menduduki kerusi nombor satu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan berkata ini adalah masa terbaik untuk Asia memimpin badan induk bola sepak dunia itu untuk kali pertama dalam sejarah.

“Berikutan presiden sekarang Sepp Blatter dan calon yang disebut-sebut penggantinya, Michel Platini sudah terkeluar, secara peribadi saya rasakan Presiden FIFA harus dari luar Eropah… orang Asia.

“Malangnya ketika ini ada dua calon Asia, Putera Ali dan Presiden AFC Sheikh Salman Ebrahim al-Khalifa, situasi yang mungkin akan memecahkan undi.

“Bagi saya, Putera Ali adalah calon paling sesuai, berpendidikan tinggi, kerabat diraja, mempunyai integriti yang tinggi dan mampu melakukan kerja. Saya mahu melihat beliau memimpin,” katanya kepada Bernama.

Presiden Blatter dan Naib Presiden FIFA yang juga Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Platini, masing-masing digantung lapan tahun oleh Jawatankuasa Etika FIFA pada Isnin lepas kerana terpalit dengan skandal menyalahgunakan kuasa membabitkan AS$2 juta.

Putera Ali Al Hussein dalam salah satu kempennya untuk menjawat jawatan Presiden FIFA. – Reuters
Putera Ali Al Hussein dalam salah satu kempennya untuk menjawat jawatan Presiden FIFA. – Reuters

FIFA dalam kenyataannya Isnin lepas berkata transaksi bayaran oleh Blatter selaku presiden pada Feb 2011 daripada FIFA kepada Platini, tidak mempunyai asas undang-undang dalam perjanjian bertulis yang ditandatangani mereka pada 25 Ogos 1999.

“Kenyataan bertulis Blatter serta kenyataannya pada sesi pendengaran, juga gagal menunjukkan ada asas undang-undang untuk bayaran itu. Pernyataannya daripada perjanjian lisan juga tidak meyakinkan dan ditolak jawatankuasa itu,” tambah kenyataan berkenaan.

Saingan merebut jawatan utama dalam Kongres Khas FIFA pada 26 Feb depan membabitkan Putera Ali, bekas Setiausaha Agung FIFA, Jerome Champagne, Setiausaha Agung UEFA, Gianni Infantino, Sheikh Salman dan pejuang antiapartheid Afrika Selatan, Tokyo Sexwale.

Bagaimanapun, Sexwale kini masih disoal oleh Panel Juri Amerika Syarikat sebagai saksi kes rasuah membabitkan bayaran AS$10 juta dari Afrika Selatan kepada bekas Naib Presiden FIFA, Jack Warner sewaktu bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2010.

Sexwale adalah antara anggota Lembaga Bidaan Afrika Selatan yang menyaksikan negara itu dipilih menganjurkan Piala Dunia 2010.

Menurut Velappan, calon Afrika Selatan itu bukan pesaing utama Putera Ali, sebaliknya Infantino yang mempunyai sokongan kuat dari Eropah, Afrika dan Amerika Selatan.

“Sebagai wakil UEFA, Infantino mempunyai hubungan baik dengan Afrika dan Amerika Selatan menerusi program pembangunan teknikal yang dilakukan dan MoU (memorandum persefahaman) … jadi tidak hairan jika beliau boleh mendapat banyak undian dari Eropah, Afrika dan Amerika Selatan,” katanya.

Jika Putera Ali berjaya dipilih mengambil alih tugas daripada Pemangku Presiden FIFA Issa Hayatou, beliau akan menjadi tokoh Asia pertama dan orang kedua bukan dari Eropah memegang jawatan itu selepas Joao Havelange dari Brazil yang menerajui badan itu selama 24 tahun sejak 1974.