Putera Ali teruskan kempen tanding presiden FIFA

Putera Ali teruskan kempen tanding presiden FIFA

PARIS, 6 Mei (AFP) – Naib Presiden FIFA, Putera Ali bin al Hussein semalam berikrar untuk meneruskan kempen menjadi ketua bola sepak dunia ‘sehingga ke penghujung’ berikutan spekulasi dia akan menarik diri.

Kerabat Diraja Jordan berusia 39 tahun itu adalah salah seorang daripada tiga pencabar presiden semasa FIFA, Sepp Blatter yang akan menghadapi cabaran getir menentang veteran Switzerland dalam pilihan raya 29 Mei nanti.

Putera itu, ketua Persekutuan Bola Sepak Belanda, Michael van Praag dan bekas bintang Portugal, Luis Figo semuanya berkata persetujuan adalah penting untuk memilih seorang calon menentang Blatter.

Tetapi Putera Ali dalam kenyataannya berkata, dia akan kekal dalam persaingan menjadi presiden ‘terutamanya selepas respons positif dan sokongan daripada persekutuan bola sepak yang dikunjunginya di negara-negara berbeza dan manifesto yang diterima seluruh dunia’. “Saya akan meneruskan persaingan sehingga ke penghujung,” kata Putera Ali.

Putera itu berkata kenyataan itu menyusul spekulasi media bahawa dia akan mempertimbangkan untuk menarik diri demi menyokong pencabar perseorangan. Dia berkata masih mengunjungi persekutuan bola sepak di seluruh dunia untuk mendapatkan sokongan bagi kempennya untuk ‘menukar reputasi FIFA’.

Putera itu memberitahu BBC dalam satu temu bual bahawa ‘pada satu kedudukan’ ada sesuatu yang perlu dibincangkan mengenai pencabar perseorangan.

Blatter, 79, adalah pilihan kuat untuk memenangi penggal kelima bagi persekutuan sukan terkuat dunia itu.

Putera itu, van Praag dan Figo mengadakan kempen bagi perubahan berikutan skandal termasuk penganugerahan Piala Dunia 2022 kepada Qatar.

Dia berkata minggu ini bahawa FIFA perlu ‘lebih terbuka dan lebih telus’.