Putera Ali tolak bantuan singkir Blatter

Putera Ali tolak bantuan singkir Blatter

ZURICH, 27 Mei (Agensi) – Pasukan pilihan raya FIFA Putera Ali al-Hussein berkata, mereka telah menolak tawaran yang menyalahi undang-undang untuk menyingkirkan penyandang, Sepp Blatter menjelang pemilihan Jumaat ini dan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa.

Pasukan kepada pencabar Blatter itu berkata semalam, mereka telah didatangi individu yang menawarkan butiran tentang kedudukan kewangan Presiden FIFA dan mendakwa dapat membantu bagi meraih puluhan undi dalam pertandingan yang membabitkan dua penjuru tersebut.

Bagaimanapun, individu berkenaan tidak pula didedahkan. Difahamkan, pasukan Putera Ali telah menolak tawaran itu dan memaklumkan kepada pihak polis, tetapi mereka tidak mendedahkan pihak berkuasa negara mana yang dihubungi.

Namun, Putera Jordan itu, yang merupakan Naib Presiden FIFA, tidak pula memaklumkan kepada badan induk bola sepak dunia itu tentang percubaan rasuah untuk pemilihan tersebut ataupun informasi peribadi yang dikatakan merupakan milik Blatter telah tersebar.

“Pentadbiran FIFA tidak dimaklumkan mengenai sebarang isu. Bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab mengendalikan kes seumpama itu ialah jawatankuasa bebas etika,” kata FIFA dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Putera Ali al-Hussein menolak tawaran untuk menyingkirkan Sepp Blatter. – Reuters
Putera Ali al-Hussein menolak tawaran untuk menyingkirkan Sepp Blatter. – Reuters

Ketika ditanya mengapa badan etika tidak dimaklumkan, pasukan yang melaksanakan kempen buat Putera Ali itu memberitahu, mereka bertindak demikian agar siasatan polis tidak terjejas.

“Matlamat kami ialah untuk tidak mencetuskan sebarang isu dalam kempen kami, tetapi kami akan bertindak balas jika terdapat aktiviti jenayah,” kata pasukan putera itu.

Pada Jumaat lalu, Blatter yang menyandang jawatan Presiden FIFA sejak 1998, buat kali pertama akan menerima tentangan sejak 2002.

Putera Ali, yang merupakan adik kepada Raja Jordan, Raja Abdullah, adalah satu-satunya pencabar Blatter selepas legenda Portugal, Luis Figo dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Belanda, Michael van Praag menarik diri minggu lepas.

Kenyataan tentang informasi mengenai tawaran untuk membantu menggulingkan Blatter telah dikeluarkan oleh Quest, sebuah firma perisikan korporat yang dikendalikan oleh bekas Pesuruhjaya Polis London, John Stevens.