Putera Arab Saudi batalkan rancangan pelaburan di Iran

Putera Arab Saudi batalkan rancangan pelaburan di Iran

KAHERAH, 6 Jan (Reuters) – Putera Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal hari ini membatalkan semua rancangan projek dan pelaburannya di Iran susulan perkembangan terbaharu hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Putera Alwaleed dalam akaun Twitter miliknya hari ini berkata, beliau juga menolak undangan Duta Iran untuk mengadakan perjumpaan dan menghentikan semua penerbangan syarikat tambang murah, Flynas ke Iran.

Putera Alwaleed menerusi syarikat pelaburannya, Kingdom Holdings memegang 34 peratus perkongsian saham dalam Flynas.

Baginda bagaimanapun tidak menjelaskan apakah rancangan pelaburannya untuk Iran dalam posting Twitternya itu.

Putera Alwaleed bin Talal. – Reuters
Putera Alwaleed bin Talal. – Reuters

Arab Saudi menarik balik hubungan diplomatik dan membekukan hubungan komersialnya dengan Iran, Ahad lalu, sehari selepas kedutaannya di Tehran diserang berikutan hukuman mati terhadap seorang ulama terkenal Syiah Iran.

Sheikh Nimr Al-Nimr dilaporkan antara 47 tahanan yang dipancung sehingga mati di Arab Saudi pada Sabtu. Mereka menerima hukuman itu selepas disabitkan dengan kesalahan berkaitan keganasan.