Putera Charles, Camilla akan kunjungi Raja Maori

Putera Charles, Camilla akan kunjungi Raja Maori

WELLINGTON, 14 Okt – Putera Charles dan isterinya Camilla akan mengunjungi Raja Maori New Zealand dalam jelajah mereka ke New Zealand pada November ini, umum kerajaan itu hari ini.

Pasangan itu akan mengunjungi Raja Tuheitia di ibu pejabatnya di marae Turangawaewar di Ngaruawahia, di tengah pulau Utara semasa lawatan mereka enam hari ke negara itu yang bermula pada 4 November.

Lawatan itu dialu-alukan oleh Raja Tuheitia, yang tidak dimasukkan dalam susunan jadual perjalanan apabila Putera William dan Kate, Duchess of Cambridge, yang mengunjungi negara itu bersama anak lelaki mereka George pada 2014.

Putera Wales dan Duchess of Cornwall itu akan menerima tabik hormat daripada armada berkanu tradisional Maori di Sungai Waikato semasa lawatan mereka ke marae. Ia akan menjadi lawatan kedua Putera Charles ke ibu pejabat Raja Maori, dan yang pertama bagi Camilla.

Perdana Menteri John Key yang mengumumkan lawatan mereka ke New Zealand itu mengatakan pasangan diraja itu akan mengunjungi beberapa buah lokasi berasingan, oleh itu akan banyak peluang bagi rakyat New Zealand menemui mereka nanti.

Putera Wales dijangka akan mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan bersama Pasukan Pertahanan New Zealand dan akan mengunjungi ladang tenusu.

Duchess of Cornwall pula akan menghadiri resepsi kesusasteraan di Universiti Otago di Dunedin bagi meraikan status bandar itu sebagai sebuah bandar kesusasteraan UNESCO, dan akan mengunjungi badan kebajikan haiwan, Masyarakat bagi Pencegahan Kekejaman ke atas Haiwan.

Pasangan itu akan meninggalkan New Zealand untuk ke Australia pada 10 November. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA