Putera George akan mula bersekolah

Putera George akan mula bersekolah

LONDON, 18 Dis (AFP) – Putera George akan memulakan pendidikan awalnya di taman asuhan kanak-kanak di Britain bermula awal tahun hadapan, umum pegawai diraja hari ini.

Anak sulung Putera William dan isterinya Kate yang berusia dua tahun itu dijangka akan memulakan persekolahannya di Taman Asuhan Westacre Montessori di Norfolk, timur England, berhampiran kediaman keluarganya di Anmer Hall.

Menurut kenyataan dari Istana Kensington, putera berkenaan dijangka akan menghadiri sekolah itu sebelum hujung Januari.

Ketika pengumuman dibuat, gambar baru William, Kate, George dan adiknya Puteri Charlotte, yang lahir pada Mei, telah disiarkan.

Gambar itu menunjukkan seluruh keluarga tersenyum dengan Kate mendukung Charlotte, George berdiri di sampingnya sambil diperhatikan William.

Putera William, isterinya Kate, bersama anak mereka George (kiri) dan Charlotte bergambar dalam foto yang diambil pada lewat Oktober 2015. – Reuters
Putera William, isterinya Kate, bersama anak mereka George (kiri) dan Charlotte bergambar dalam foto yang diambil pada lewat Oktober 2015. – Reuters

Dalam kenyataan itu lagi, Istana Kensington memetik taman asuhan sebagai berkata: “Kami tidak sabar-sabar untuk mengalu-alukan George ke sekolah tadika kami, di mana dia akan mendapat pengalaman istimewa yang sama seperti semua kanak-kanak kami.”

Sementara generasi terdahulu keluarga Britain biasanya tidak menghadiri taman asuhan, George akan mengikuti jejak langkah ayahnya.

William telah dihantar ke sekolah taman asuhan eksklusif berhampiran Istana Kensington di London oleh ibunya, mendiang Diana, yang dirinya sendiri bekerja di taman asuhan itu sebelum berkahwin dengan Putera Charles.

Sekolah-sekolah Montessori dikenali kerana pendekatan liberal mereka kepada pendidikan, yang termasuk bilik darjah pelbagai usia dan menggalakkan kanak-kanak untuk bergerak bebas.